
PUSAT BADAN & CAT TOYOTA DI KUCHING KINI BEROPERASI SEPENUHNYA
Dalam usaha untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggannya di seluruh negara, UMW Toyota Motor baru-baru ini mengumumkan bahawa Pusat Badan & Cat (B&P) di Kuching, Sarawak sudah beroperasi sepenuhnya.
Dikendalikan oleh Boulevard Jaya, pusat B&P itu terletak di kawasan perindustrian Pending. Sekali gus melengkapkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pusat jualan dan servis Toyota di Jalan Datuk Tawi Sli, Kuching.
Kemudahan baharu itu melibatkan pelaburan mencecah RM16 juta, termasuklah kos pembelian tanah seluas tiga ekar. Ia mempunyai 10 ruang Paint Oven bagi memastikan kualiti cat yang terbaik.
Pusat itu membolehkan pelanggan membaiki kenderaan mereka akibat kemalangan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Toyota Motor Corporation. Bantuan tuntutan insurans turut disediakan.
“Sebagai pengedar sah kenderaan Toyota di Malaysia, kami bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan terbaik selepas kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan,” kata Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.
Rangkaian UMW Toyota Motor dilihat semakin berkembang dengan kini mempunyai hampir 100 pusat jualan dan selepas jualan di seluruh negara. Maklumat lanjut, sila layari laman web: toyota.com.my
BACA: GUNA KAYU SEBAGAI SUSPENSI, PEMANDU TOYOTA TERCEL DISAMAN