Buletin

PUSPAKOM PERKENAL URUSNIAGA TANPA TUNAI DAN TANPA KERTAS

Selaras usaha untuk meningkatkan digitalisasi dalam operasinya,PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) akan memperkenalkan urusniaga pembayaran tanpa tunai. Di samping pengeluaran laporan pemeriksaan dan resit tanpa kertas di pusat-pusat pemeriksaannya.

Pelaksanaan urusniaga digital ini akan dijalankan secara berperingkat mulai 5 April 2021 di pusat-pusat pemeriksaan PUSPAKOM di Wilayah Tengah sebelum diperluaskan ke pusat-pusat pemeriksaannya di seluruh negara.

Ini merupakan inisiatif PUSPAKOM bagi menggalakkan transaksi tanpa sentuh dan mesra alam di kaunter-kaunter. Ia juga memudahkan pelanggan membuat pembayaran untuk pemeriksaan mereka tanpa perlu membawa tunai.

Di peringkat awal, pelaksanaan program tanpa tunai dan tanpa kertas akan bermula di pusat pemeriksaan di Wilayah Tengah. Sebelum disusuli pada 5 Mei depan di Wilayah Utara, 5 Jun (Wilayah Selatan), 5 Julai (Wilayah Timur) dan akhir sekali pada 5 Ogos di Sabah dan Sarawak.

PUSPAKOM mensasarkan semua urusan secara tunai serta cetakan resit dan laporan pemeriksaan akan ditamatkan menjelang bulan Oktober tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Shukor Ismail berpendapat sistem ini amat sesuai ketika seluruh rakyat perlu menjalani norma baharu.

Semua transaksi akan direkod dan disimpan di pengkalan data PUSPAKOM. Sekali gus meningkatkan ketelusan dan integriti PUSPAKOM di mata masyarakat. Data itu juga membolehkan pengguna memantau aktiviti kewangan dan transaksi yang berkaitan pemeriksaan kenderaan mereka di PUSPAKOM.

Pelaksanaan urusniaga secara digital ini merupakan lanjutan sistem MyPUSPAKOM yang mula diperkenalkan pada tahun 2017. MyPUSPAKOM merupakan platform menetapkan temu janji pemeriksaan dan pembayaran secara dalam talian melalui FPX, kad debit, kad kredit dan e-dompet.

PUSPAKOM telan menjalankan satu kaji selidik pelanggan dalam Mac 2021. Hampir 2,300 pelanggan telah ditanya mengenai kesediaan mereka berkaitan transaksi tanpa tunai di PUSPAKOM.

Seramai 86 peratus responden telah memilih “Setuju” dan “Agak Setuju” dalam kajian tersebut. Kajian yang sama juga menunjukkan 75 peratus responden bersetuju PUSPAKOM menggunakan sistem transaksi tanpa tunai sepenuhnya.

Selain kad debit dan kad kredit, e-dompet yang akan diterima oleh PUSPAKOM termasuklah PUSPAKOM e-wallet, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay.

Maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan PUSPAKOM di talian 03-5101 7000 atau Live Chat di www.puspakom.com.my atau mengikuti Facebook rasmi PUSPAKOM Sdn Bhd.

Google ads
Back to top button