Buletin

QANTAS TAWAR PENERBANGAN MISTERI UNTUK RANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN TEMPATAN

Syarikat penerbangan utama Australia, Qantas kini menawarkan ‘penerbangan misteri’ kepada penumpang dalam usaha untuk merancakkan lagi industri pelancongan domestik. 

Penumpang hanya perlu menempah satu daripada tiga destinasi dan ‘tuah’ mereka akan ditentukan syarikat penerbangan tersebut.

Perjalanan sehari yang mula dijual semalam akan berlepas dari Brisbane, Sydney dan Melbourne pada 27 Mac, 18 April dan 1 Mei depan.

Pesawat Boeing 737 akan digunakan dengan dihadkan kepada 120 penumpang untuk setiap penerbangan yang mengambil masa dua jam.  Penumpang berpeluang menikmati sarapan di ruang rehat Qantas pada 7 pagi sebelum menamatkan perjalanan pada lewat petang.

Penumpang tidak akan mengetahui destinasi mereka sehingga pesawat mula terbang rendah di lokasi misteri.

Namun, menerusi skrin di bahagian belakang tempat duduk, penumpang boleh meneka destinasi mereka.

Pesawat itu juga akan terbang rendah di beberapa kawasan tarikan utama sepanjang perjalanan.

Penerbangan dari Brisbane akan menawarkan pengalaman menarik untuk mereka yang gemar menikmati hidangan gourmet dan wain serta pemandangan menakjubkan. Bagi penerbangan dari Sydney, penumpang akan berpeluang merasai makan tengah hari di pantai di lokasi beriklim tropika.

Manakala penerbangan dari Melbourne pula sesuai untuk peminat aktiviti luar, makanan, wain dan menggemari pasar produk pertanian.

Pakej berkenaan bermula dari harga 737 dolar Australia (RM2,327) untuk kelas ekonomi dan 1,570 dolar Australia (RM4,950) bagi kelas perniagaan.

“Penerbangan misteri ini adalah inisiatif untuk membantu menyokong pelancongan tempatan yang terkesan akibat beberapa sekatan,” kata Ketua Pegawai Pelanggan Kumpulan Qantas, Stephanie Tully.

Australia kini masih menutup sempadan antarabangsa bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara itu yang sudah merekodkan 28,996 kes dengan 909 kematian. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button