Artikel Pilihan

RAHSIA KENAPA ROLLS ROYCE MAHAL

Rolls Royce merupakan satu jenama premium yang seringkali digunakan oleh selebriti ternama, VVIP dan juga kerabat diraja . Tapi tahukah anda jenama Rolls Royce yang dilahirkan pada tahun 1906 tersangat la mahal dan diluar jangkauan dan kemampuan rakyat biasa.

Sehingga kini Rolls Royce hanya mengeluarkan 4 buah model yang berbeza, namun harganya antara satu sama lain tidak sama walaupun mereka menjual kereta yang sama pada pelanggan yang berbeza. Paling murah ia dijual pada harga RM 1.4 juta. Ini disebabkan Rolls Royce boleh ditempah dan di “custom” mengikut kehendak pelanggan. Mari kita kaji mengapa harga Rolls Royce mahal sangat

1. Warna kereta – kalau kereta baru anda mungkin boleh dipilih daripada 7 warna, Rolls Royce menawarkan pilihan 44,000 warna. Sudah cukup untuk membuatkan anda rabun warna sekejap. Ada warna yang diilhamkan dari warna rambut bekas kekasih, bulu kucing kesayangan anda, lipstick, warna beg kesayangan anda atau apa sahaja yang anda minat. Namakan sahaja

Katakanlah anda sudah menemui warna ungu yang sama dengan warna tudung bini anda yang no 3, anda boleh meminta Rolls Royce hasilkan warna tersebut dan namakan kod tersebut dengan nama anda. Kalau ada orang lain yang berminat, Rolls Royce perlu menulis surat kebenaran daripada anda untuk menggunakannya. Kelasss kau jah..

Di Rolls Royce Colour Finish Center, mereka mengecat sehingga 7 lapisan cat bagi memenuhi kehendak anda. Ada sesetengah warna memerlukan 23 lapisan cat untuk disembur dengan berat cat mencecah 45kg. Nak letak berlian di lapisan cat, silakan tiada masalah asalkan duit anda dalam akaun bank seperti no telefon Abam Japar

2. Kemasan garisan pada cat kereta – jika anda perasan seringkali Rolls Royce menggayakan satu garisan car yang bermula dari depan dan berakhir di bahagian belakang kereta. Garisan ini dihasilkan dengan tangan oleh seorang sahaja Coachliner. Berus cat yang digunakan oleh Coachliner dihasilkan dari bulu tupai. Abam rasa dia amik bulu di bahagian ekor tupai.

Katakanlah pelanggan yang tinggal di Kokdiang membeli Rolls Royce mengubah fikiran untuk menambah garisan warna ini selepas kereta sampai di rumahnya, Coachliner mesti terbang ke Kokdiang untuk menghasilkan garisan warna ini. Falsafah Rolls Royce ialah, keretanya tidak boleh kembali ke kilang, semuanya mesti disiapkan di rumah pelanggan.

3. Simbol Rolls Royce – seperti bahagian jeriji depan Pantheon yang dihasilkan dengan menggunakan krom secara buatan tangan, logo Rolls Royce di bahagian rim yang tidak pernah berputar dan hiasan Spirit of Ecstasy yang akan keluar dari penutup hud depan sebaik sahaja enjin dihidupkan.

4. NVH – Bagi menghasilkan sebuah kereta yang amat senyap, tanpa gegaran dan kekasaran dari permukaan jalan sampai kepada penumpang Rolls Royce biasanya menambah 140kg bahan kedap bunyi dan gegaran yang akan dipasang pada tempat-tempat tertentu di dalam kereta.

5. Tayar – Rolls Royce juga meminta Continental menghasilkan tayar keluaran khas untuk kegunaan mereka dengan rekaan tayar dilapisi bahan kedap bunyi. Tayar ini mampu mengurangkan 9 dB bunyi tayar berbanding dengan tayar biasa yang digunakan oleh kereta lain.

Disebabkan terlampau senyap, pakar bunyi mencadangkan agar Rolls Royce membuang sedikit bahan kedap bunyi pada kereta mereka kerana terlalu senyap juga boleh mengganggu psikologi penumpang. Terlalu senyap sehingga mereka merasakan telinga mereka bermasalah.

6. Papan pemuka – pelanggan boleh menempah apa sahaja bahan yang boleh digunakan untuk digunakan sebagai hiasan papan pemuka. Anda boleh memilih corak kayu, bulu-bulu burung, malah Rolls Royce bleh menghasilkan rekaan corak 3D yang berasaskan DNA anda yang disalut dengan emas sebenar.

7. Bahagian bumbung – atau headliner boleh direka mengikut selera pembeli. Cermin suria atau moonroof bukanlah pilihan mereka. Terdapat pelanggan yang mahukan headliner ini mirip kerlipan bintang pada waktu malam. Jadi Rolls Royce menebuk 1340 lubang pada headliner dan memasang kabel fiber optic yang akan memberikan imbasan kerlipan bintang.

Malah Rolls Royce berjaya menghasilkan corak tahi bintang yang melintasi bumbung dengan gabungan sistem elektronik dan juga fibre optic. Proses ini sahaja memakan masa sehingga 16 jam.

8. Jahitan dan seni tenun – Rolls Royce menyatakan tiada standard bagi kemasan jahitan untuk bahagian kusyen, headlining dan juga kemasan pada pintu kereta. Semua jenis jahitab boleh ditempah mengikut citarasa pelanggan. Kalau mahukan jahitan dengan efek 3D, tiada masalah.

Projek paling rumit yang mereka hasilkan ialah Rose Phantom dengan 1 juta tenunan yang dibuat bagi menghasilkan corak bunga ros dan juga rama-rama.

Setakat ini model yang paling mahal dihasilkan oleh mereka ialah Rolls Royce Sweptail dengan harga mencecah RM 55 juta per unit. Jika pengeluar lain mencari kelainan dengan kereta paling laju, paling berkuasa, paling bersih, Rolls Royce menawarkan sebuah kereta paling mahal dan mewah. Jual paru-paru pun tak lepas…

Google ads
Back to top button