,
Buletin

GR SUPRA KINI SEMAKIN POWER, 388 PS

Sebagai model global pertama dibangunkan Toyota Gazoo Racing, Toyota GR Supra telah memberi impak yang besar sejak ia dilancarkan, termasuk di Malaysia.

UMW Toyota kini memperkenalkan versi dikemaskini bagi model berkenaan untuk pasaran tempatan.

GR Supra 2020 diberi peningkatan kuasa enjin 3.0 liternya apabila menerima pertambahan output kuasa dalam memberi prestasi pemanduan lebih baik.

Peningkatan kuasa ini tertumpu kepada enjin enam-silinder Turbocas yang menghasilkan 285kW (388PS) kuasa iaitu antara 5,800 hingga 6,500 rpm dengan peningkatan sebanyak 14 peratus.

Tork maksimum pula kekal pada 500Nm dan dicapai lebih luas antara 1,800 hingga 5,000rpm berbanding 1,600 hingga 4,500rpm sebelum ini.

Output kuasa tidak hanya ditingkatkan melalui talaan semula, tetapi turut melibatkan penambahan Manifold ekzos dua cabang utama dengan enam port yang bertujuan untuk memperbaiki pengurusan haba enjin.

Rekaan piston baharu juga mengurangkan nisbah mampatan enjin daripada 11:1 kepada 10.2:1.

Enjin dinaik taraf dengan julat lebih tinggi juga mengekalkan keupayaan rev yang tinggi bagi kelancaran optimum.

Di samping itu, ia dilengkapi transmisi automatik lapan kelajuan ZF dengan kadar pecutan 4.1 saat berbanding 4.3 saat sebelumnya.

Model ini turut menawarkan casis diubah suai dengan pertambahan rod prestasi bagi kestabilan dan ketahanan optimum mengambil kira pendapat pemandu jentera berprestasi tinggi.

GR Supra terbaharu turut menerima talaan semula casis dengan pertambahan rod prestasi untuk meningkatkan lagi ketahanannya.

Selain penggunaan angkup brek berwarna merah dengan logo Supra di depan, lain-lain spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang ada kekal sama.

Warna badan biru (Deep Blue Metallic) kini tidak lagi ditawarkan tetapi pelanggan masih boleh memilih dari tujuh warna lain iaitu merah (Prominence Red), kuning (Lightning Yellow), putih (White Metallic), perak (Silver Metallic), kelabu (Ice Grey Metallic), hitam (Black Metallic) dan Matte Storm Grey Metallic.

Ciri keselamatan standard termasuk sistem-sistem aktif yang bekerjasama untuk membantu pemandu sekiranya perlu.

Sebagai tambahan, terdapat ciri seperti sistem pemantau tekanan tayar, sensor parkir pintar dengan fungsi brek kecemasan serta peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang.

GR Supra terbaharu kini boleh ditempah melalui bilik-bilik pameran terpilih Toyota GR Garage dengan harga bermula RM589,987 hingga RM611,880.

Tags
Google ads
Back to top button