
RIWAYAT HIDUP – AKU ADALAH KIA FORTE KOUP. DAN AKU BUKANLAH PLAYBOY
Salam sejahtera buat semua pembaca Mekanika yang budiman dan bijaksana serta bodohsini. Ok sorry. Tak kelakar, Tak sampai pula punchline. Nama aku adalah Kia Forte Koup. Dan aku ini bukanlah Playboy. Entah siapalah memandai kata Coupe ini bangsa Playboy. Jahat sangat.
Aku ini berasal dari Korea Selatan. Sebuah negara berpaksikan Amerika Syarikat katanya. Aku ini dilahirkan pada tahun 2010. Di kala itu, jenama Kia ini semenangnya tengah meletup dengan beberapa rekaan kereta yang mampu menarik minat pembeli. Kira ibarat kebangkitan Kia dan bangsa Korea lah.
Aku mula menjejakkan kaki ke bumi Malaysia pada tahun 2011 melalui kerjasama Naza Kia. Ketika diperkenalkan buat pertama kali, ramai juga mata – mata yang memerhati.

Jelas sekali aku ini meminjam paras rupa hadapan model Kia Forte. Hampir tiada perbezaan ketara langsung, kecuali rekaan semula bampar bagi menampilkan imej yang lebih sporty. Begitu juga bahagian belakang aku yang langsung tidak menampilkan imej kereta buatan Korea. Sekali imbas memang ada gaya Muscle Car.
Untuk menjadi sebuah Coupe yang handal, nadi utama aku seharusnya tidak lemau. Dan Kia telah memadankan enjin 2.0 THETA lengkap dengan CVVT yang mampu menghasilkan kuasa 154 HP dan tork 194Nm. Berbanding model Forte sebelumnya dengan empat kelajuan, aku pula dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.
Menariknya tentang aku, kelengkapan seperti sunroof, paddle shift, push start button, tempat duduk backet dibalut kulit, serta six-CD Changer mampu menarik minat bakal pembeli. Eh kejap. Ada yang tahu ke tidak menatang apakah six-CD Changer ni? Itu jam, mana-mana kereta yang ada benda alah ini memang cukup hebat dah.

Pada aras harga RM115,800, aku sebenarnya boleh dikirakan sebagai ‘murah’ ketika itu. Kira mampu milik buat golongan Eksekutif Kanan yang belia. Tak berapa nak belia dan Eksekutif Kiri serupa Brader Karrager tu beli sahajalah Aruz. Penjamin pun sampai lima orang.
Dan tahukah bahawa pasaran untuk Coupe tidak lagi pernah semurah itu pada masa sekarang? Pengganti Cerato Koup itu pun dah up sikit harga dia. Subaru BRZ? Lagilah mahal.