;
Buletin

RAMAI KENA TAHAN, JPJ PERAK DAN KEDAH PINJAMKAN PEGAWAI KE PULAU PINANG

Bagi melancarkan operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang terbabit dengan skandal rasuah baru-baru ini, JPJ Perak dan Kedah telah meminjamkan seramai 15 orang pegawai mereka ke sana.

Operasi JPJ Pulau Pinang dilihat pincang selepas 51 orang pegawainya ditahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menerima rasuah supaya melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan, terutama membawa muatan berlebihan di Pulau Pinang. 

Semalam, 22 lagi pegawai penguatkuasa JPJ Pulau Pinang ditahan atas tuduhan sama. Terbaharu, lima lagi menerima nasib yang sama. 

Mereka yang ditahan itu merupakan antara 100 orang pegawai yang ditugaskan di tiga buah pejabat JPJ di seluruh Pulau Pinang.  Setakat ini, seramai enam orang pegawai masih direman dan bakinya sudah dibebaskan dengan jaminan.  

Para pegawai itu dikatakan menerima bayaran bulanan di antara RM10,000 hingga RM32,000 sebulan setiap seorang. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki tidak menolak kemungkinan lebih ramai termasuk pegawai kanan JPJ Pulau Pinang akan disoal siasat selepas ini. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah JPJ,  Datuk Seri Shaharuddin Khalid menegaskan pihaknya tidak akan membela mana-mana pegawainya yang didapati bersalah, selain berjanji memberi kerjasama penuh kepada SPRM. 

Shaharuddin juga memberitahu pegawai terlibat akan digantung kerja selama dua bulan.

Tags
Google ads
Back to top button