Buletin

REGAL MOTORS HOLDINGS BUKA PUSAT 3S PROTON DI SEKSYEN 13 PETALING JAYA

Regal Motors Holdings Sdn. Bhd. baru-baru ini melancarkan pusat 3S miliknya secara rasmi. Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong dan barisan pengurusan PROTON.

Syarikat telah memindahkan keseluruhan operasi 3S ke Seksyen 13, Petaling Jaya dari tempat asalnya di Jalan Klang Lama bagi menyediakan kemudahan lebih baik kepada pelanggan.

Kemudahan ini mempunyai keluasan 1.2 ekar dan terletak di kawasan perindustrian yang strategik.

“Kami yakin dengan kesesuaian lokasi ini untuk menarik pelanggan. Pusat 3S ini dibina berasaskan gaya hidup kini dengan ruangan yang luas untuk bersantai dan membeli kereta,” kata Pengarah Urusan Regal Motors Holdings, Philip How.

Pusat 3S ini dilengkapi 12 petak servis dan 6 servis pengangkat. Jika kenderaan banyak untuk diservis, ia boleh menempatkan 6 lagi servis pengangkat tambahan.

Kini, terdapat 13 penasihat jualan dan 11 kakitangan servis, termasuklah seorang Pengurus Servis, 2 penasihat servis, seorang eksekutif perhubungan pelanggan, 6 juruteknik dan seorang pengawal operasi.

Perniagaan sedia ada di Jalan PJS 7/23, Bandar Sunway akan diteruskan operasinya di bangunan persendirian sebagai pusat ketuk dan cat untuk  kemudahan pelanggan di kawasan berhampiran.

Philip percaya dengan adanya pusat 3S baharu di Petaling Jaya dan pusat ketuk dan cat sedia ada di Sunway, pihaknya menjangkakan peningkatan jualan sebanyak 30 hingga 40 peratus, terutama selepas pengenalan model SUV Proton.

Bagi servis pula, Regal Motors Holdings menjangkakan kenaikan sebanyak 60 hingga 70 peratus.

Sehingga 20 Ogos lalu, Proton sudah mencapai 88 peratus dari segi penambahbaikan cawangan 3S dan 4S. Proton juga yakin dapat mencapai 109 buah cawangan menjelang Oktober depan.

Google ads
Back to top button