Buletin

REMAJA RENTUNG DALAM MUSTANG AKIBAT KEMALANGAN, FORD DIARAH BAYAR PAMPASAN RM50 JUTA

Ford diarah untuk membayar pampasan sebanyak AS$7 juta (RM30 juta) kepada keluarga remaja berusi 19 tahun yang terbunuh dalam satu kemalangan ketika memandu sebuah Ford Mustang tahun 2014. 

Breanna Bumgarner maut apabila sebuah trak pikap melanggarnya pada tahun 2016 dan Mustang tersebut terbakar. Saman menyebut bahawa rekaan Mustang mempunyai kecacatan yang menyebabkannya boleh terbakar, walaupun ketika dipandu dalam keadaan normal. 

Juri mendapati Ford 99 peratus bertanggungjawab ke atas kematian Bumgarner apabila menyatakan Mustang tidak menghalang masalah kebocoran pada tangki cecair brek sewaktu pelanggaran. Manakala satu peratus kesalahan lagi diletakkan ke atas bahu pemandu trak berkenaan. 

Akhbar Charleston Gazette melaporkan Anna Errickson memandu sebuah trak pikap Toyota terbabas dan melanggar Bumgarner. Peguam yang mewakili ibu Bumgarner, Angel Tyler memberitahu juri mangsa maut terbakar kerana terperangkap di dalam Mustang.

Manakala peguam Ford, James Feeney menyatakan trak pikap itu menghentam bahagian sisi Mustang yang menyebabkan pintu tidak boleh dibuka dan mangsa tidak dapat menyelamatkan diri. 

“Tidak ada seorang pun jurutera atau pakar perubatan memberi kenyataan di mahkamah ini yang pengeluar kenderaan perlu ada standard reka bentuk yang membolehkan pintu dibuka jika ia dihentam pada sudut 40 darjah oleh sebuah trak pikap dengan kelajuan 95km/j,” kata Feeny. 

Mahkamah kemudian mengarahkan pampasan sebanyak AS$2 juta (RM8.75 juta) atas kesengsaraan yang terpaksa dilalui oleh mangsa dan AS$5 juta (RM21.8 juta) untuk tekanan mental yang dihadapi oleh Tyler berikutan kematian anak perempuannya. 

Google ads
Back to top button