Buletin

FORD MAHU TARIK LEBIH RAMAI GOLONGAN MUDA BELI MUSTANG

Tidak dapat dinafikan lagi populariti Ford Mustang (atau lebih mesra digelar Ford MLM oleh sesetengah pihak) di kalangan masyarakat.

Biarlah dikecam sekalipun, handling teruk, suka langgar orang ramai dan sebagainya, ia tetap menjadi satu ikon penting kepada pengeluar Ford.

Namun, ia tetap tidak dapat lari daripada hakikat sebenar di mana golongan pembeli Mustang ini semakin berusia, dan golongan muda pula tidak ramai yang gemar akan model ini.

Hal ini didedahkan sendiri oleh pengurus pemasaran Ford Mustang, Jim Owens kepada laman MuscleCarAndTrucks dan beliau mengakui segmen kereta sports ini semakin mengecil dari tahun ke tahun.

“Semakin kurang golongan yang menggemari kereta sports. Jadi apabila saiz pecahan tersebut semakin mengecil, apa yang anda buat? (Pada kami) Ia lebih kepada pengalaman pemanduan. Ia adalah berkenaan cubaan untuk membawakan mereka produk (Mustang) supaya mereka merasai sendiri apa yang ditawarkan oleh produk ini.

Owens juga mengakui terdapat perbezaan yang ketara ditunjukkan oleh ahli-ahli kelab Mustang yang sudah berusia berbanding kelab-kelab baharu.

“Terdapat banyak kelab-kelab Mustang yang bersifat ‘hadir dan menunjuk’, datang ke tempat berkumpul, meletakkan kereta masing-masing, menikmati minuman kopi dan melepak bersama rakan-rakan.

“Apa yang kami dapati dari demografik yang lebih muda, ia lebih bersifat pengalaman. Mereka mahukan cabaran seperti autocross, time attack, ujian dan juga penalaan.

Sebelum ini, Ford menggunakan strategi pemasaran menggunakan nama-nama terkemuka seperti Vaughn Gittin Jr., Hailie Deegan, Joey Logano dan Ken Block bagi mempromosikan kereta sports coupe itu.

Seperti yang dilaporkan, Ken Block telah pun berpisah dari Ford dan kini bersama dengan Audi.

Sumber: MuscleCarsAndTrucks

Google ads
Back to top button