Buletin

NISSAN ROGUE/X-TRAIL 2021. REKA BENTUK LEBIH PADU, KUASA 181HP

Selepas memberi nafas baru kepada Altima, Versa, Sentra dan Titan, Nissan kembali dengan model terbaharu Rogue 2021 untuk diperkenalkan di pasaran Amerika Syarikat.

Rogue mungkin agak asing bagi pembaca negara ini, ia sebenarnya merupakan model terbaharu X-Trail.

Nissan Rogue 2021 dibangunkan di atas platform serba baharu. Ia didakwa berjaya meningkatkan dinamik pemanduan, selain rekaan lebih moden dan bergaya serta dilengkapi sistem bantuan pemandu yang terkini.

Ini sekali gus membolehkannya mengekalkan kedudukan sebagai salah satu crossover kelas pertengahan paling laris di pasaran.

Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Jualan Nissan AS, Mike Colleran berkata Rogue serba baharu direka untuk memenuhi keperluan keluarga muda masa kini.

“Dengan reka bentuk ekspresif, teknologi canggih, keselamatan, keselesaan dan serba versatil, kenderaan baharu ini boleh menguasai segmen crossover pertengahan,” katanya.

Gril V-motion pada bahagian hadapan menyerlahkan lagi rupa garang crossover ini. Dari segi dimensi, Rogue adalah 1.5 inci lebih pendek dan 0.2 inci lagi rendah berbanding model sebelum ini.

Selain itu, jelas perubahan dapat dilihat pada lampu hadapan yang menggunakan pencahayaan LED. Panel lampu juga dibahagikan kepada dua bahagian untuk menjadikannya lebih moden serta selari dengan perkembangan trend. Bahagian belakang pula, lampu yang ditawarkan lebih nipis.

Menyentuh mengenai kabin dalaman, SUV ini menawarkan skrin sentuh 9.0 inci di bahagian tengah papan pemuka untuk sistem infotainmen yang disokong oleh ciri Android Auto dan Apple CarPlay.

Model terbaharu itu turut didatangkan paparan head-up bersaiz 10.8 inci dan instrumen digital 12.3 inci bagi memudahkan pemandu.

Rogue dikuasakan oleh enjin  empat silinder 2.5 liter QR25DE yang kini mampu menghasilkan kuasa 181 hp (+11 hp) dan 245Nm tork (+8Nm).

Ia dipadankan bersama transmisi CVT dan didatangkan dengan pilihan pacuan roda hadapan atau empat roda. Versi hibrid mungkin diperkenalkan pada masa akan datang.

Dari segi keselamatan, semua varian Rogue dilengkapi teknologi Nissan Safety Shield 360 yang terdiri daripada Automatic Emergency Braking with Pedestrian Detection, Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, High Beam Assist dan Rear Automatic Braking.

Satu lagi ciri standard penting ialah Rear Door Alert bagi mengingatkan pemandu untuk memeriksa bahagian belakang supaya tiada penumpang atau kanak-kanak yang tercicir. – carbuzz

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button