Buletin

ELAK RENTAS NEGERI, POLIS GALI LUBANG DI LALUAN TIKUS DI GUA MUSANG

Polis Gua Musang dilapor terpaksa menggali lubang di lima lorong tikus yang dikenal pasti di sekitar Kampung Tanah Puteh, Gua Musang, Kelantan bagi menghalang kenderaan dari luar merentas masuk sempadan negeri ini.

Tindakan itu diambil berikutan  kon dan penghadang simen yang diletak bagi menutup laluan sebelum ini telah dibuang dan dimusnahkan pihak yang cuba masuk ke Kelantan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. 

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian kerana lorong tikus itu sering dijadikan laluan orang ramai yang mengelak diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR).

“Kita juga akan melakukan pemantauan dan rondaan secara kerap di kawasan itu. Kita bertindak tegas untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dan menyekat pihak yang cuba melepasi daerah atau memasuki Kelantan melalui Gua Musang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lorong tikus terbabit di Gua Musang.

Dalam perkembangan berkaitan, aliran trafik memasuki Kelantan di sekatan jalan raya (SJR) Kilometer 7 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Kampung Tanah Putih lengang kerana tiada lagi kenderaan dari luar cuba memasuki negeri ini.

Ini berikutan pengguna jalan raya mula akur dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara.

“Kita juga turut meningkatkan pemeriksaan kenderaan di sekatan itu dan di SJR Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Cameron Highlands bagi memastikan tiada kenderaan luar merentas negeri untuk pulang beraya,” katanya. – UTUSAN

Google ads
Back to top button