RICHARD HAMMOND KEMALANGAN DENGAN RIMAC CONCEPT_ONE – ALAMI RETAK LUTUT
Pengacara rancangan pemotoran terkenal, Richard Hammond dilapor terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Hemberg, Switzerland semalam.
Hammond ialah bekas pengacara Top Gear dan kini mengacarakan program The Grand Tour (TGT) bersama dua lagi rakannya, Jeremy Clarkson dan James May. Kemalangan berlaku ketika Hammond memandu sebuah supercar elektrik, Rimac Concept_One di laluan berbukit di sana.
Dalam satu klip video, jentera berwarna putih itu dilihat hilang kawalan di satu selekoh sebelum terbabas, terbalik dan terbakar. Penerbit TGT menerusi Twitter mengesahkan bahawa Rimac Concept_One itu memang dipandu oleh Hammond.
Mujurlah dia sempat keluar dari kereta sebelum ia meletup. Hammond kemudian dikejarkan ke hospital di St. Gallen dengan sebuah helikopter untuk mendapatkan rawatan.
“Richard dalam keadaan sedar dan boleh bercakap. Selepas pemeriksaan lanjut, doktor mendapati lututnya retak. Punca kemalangan masih belum diketahui dan masih disiasat,” jelasnya.
Clarkson menyifatkan insiden itu sebagai kemalangan paling besar dan menakutkan. Sebenarnya, ini bukan kali pertama Hammond terlibat dalam kemalangan. Pada tahun 2006, pengacara berusia 47 tahun itu pernah koma selama dua minggu selepas sebuah jentera jet dragster yang dinaikinya terbabas.
Apa yang pasti, kemalangan ini akan memberi kesan besar kepada Rimac. Berharga AS$1 juta (RM4.26 juta), Concept_One dikatakan satu-satunya versi produksi Rimac. Tetapi, ini bukanlah kereta supercar pertama yang ‘dirosakkan’ oleh trio pengacara tersebut.
Concept_One dikuasakan oleh empat motor elektronik magnet yang mampu menjana kuasa 1,224hp dan tork 1,60Nm. Ia dihasilkan oleh sebuah firma kecil dari Croatia untuk bersaing dengan pembuat supercar lain yang lebih establish.
BACA: MICK DOOHAN AKAN KENDALIKAN BIKE TORQUE SHOW – TOP GEAR VERSI MOTOSIKAL, MENARIK!
Kemalangan ini dijangka menjejaskan jadual musim baru TGT yang sepatutnya bermula pada Oktober depan.
kredit foto: Jeremeyclarkson1@instagram