Motosikal

FABIO QUARTARARO SAH SERTAI PASUKAN FACORY YAMAHA UNTUK MUSIM 2021-2022. KE MANA ROSSI?

Yamaha Motor Co., Ltd. semalam mengumumkan bahawa pelumba rookie sensasi, Fabio Quartararo bakal menyertai pasukan factory Yamaha untuk musim 2021 dan 2022. 

Keputusan memberangsangkan yang dicatat oleh Quartararo ketika bersama pasukan satelit PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) membuatkan pengeluar motosikal itu tidak teragak-agak untuk mendapatkan khidmat pelumba dari Perancis tersebut. 

“Kami gembira Fabio akan menyertai pasukan factory Yamaha untuk tahun 2021 dan 2022. Keputusan yang dicatatnya dalam tahun pertama MotoGP memang luar biasa. Menyerap dia ke pasukan factory selepas kontraknya tamat dengan pasukan Yamaha SRT adalah langkah yang bijak. 

“Fabio baru berusia 20 tahun, tetapi dia sudah menunjukkan kematangan di dalam dan di luar litar. Fabio dan Maverick akan memberi semangat kepada kami semua untuk terus membangunkan jentera YZR-M1, seterusnya  mencatat kemenangan,” kata Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis.    

Pelumba berusia 20 tahun itu berjaya memperoleh keputusan tujuh kali di podium (lima kali ditempat kedua dan dua kali di tempat ketiga) dalam musim pertamanya dengan Yamaha SRT yang ketika itu merupakan pasukan saltelit Yamaha yang baru. 

Malah, Quartararo beberapa kali hampir menjuarai perlumbaan, cuma nasib belum menyebelahinya. Maka tidak hairanlah jika dia berjaya membuatkan semua pihak menyedari kehadirannya. Pada musim 2019, Quartararo berjaya menempatkan diri di kedudukan kelima keseluruhan. 

Pencapaian itu membolehkannya dinobat sebagai Pelumba Pasukan Satelit Terbaik dengan 27 mata, selain Rookie of the Year dengan jurang 100 mata dengan pesaingnya. 

Bagi musim 2020, Quartararo sekali lagi akan mewakili pasukan Yamaha SRT bagi memenuhi kontraknya selama dua tahun dengan pasukan tersebut. Bezanya, tahun ini dia akan menggunakan jentera YZR-M1 spesifikasi factory, di samping menerima sokongan Yamaha sepanjang musim sebelum diserap ke pasukan factory Yamaha. 

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Quartararo bakal bergandingan dengan Maverick Vinales yang kontraknya telah dilanjutkan selama dua tahun lagi. 

“Saya sangat gembira dengan apa yang telah dicapai oleh pihak pengursan dengan Yamaha. Bukan senang, tetapi saya kini mempunyai perancangan yang jelas untuk tempoh tiga tahun akan datang.  Saya akan bekerja keras seperti tahun lepas dan sangat bermotivasi untuk mencapai prestasi terbaik. 

“Saya rasa cuti musim sejuk seperti terlalu lama. Saya sangat teruja untuk ke sesi ujian di Sepang minggu depan dan menunggang jentera YZR-M1 baharu, selain berjumpa dan bekerja dengan krew yang sama sekali lagi. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yamaha dan Petronas Yamaha SRT yang telah memberikan saya peluang untuk masuk ke kelas MotoGP pada tahun 2019. Saya akan melakukan segalanya untuk membanggakan mereka pada tahun ini,” kata Quartararo. 

Tags
Google ads
Back to top button