Artikel Pilihan

RR GHOST: BERAPAKAH KOS MEMBELA SEBUAH “HANTU”?

Rolls Royce. Satu nama yang agung di dalam dunia Automotif dan juga Aeronautik. Syarikat ini ditubuhkan oleh Mr. Charles Rolls dan Mr. Henry Royce. Maka jadilah Rolls Royce. Senang betul.

Dipendekkan cerita, sekarang Rolls Royce terbahagi kepada dua iaitu Rolls Royce Motor Cars Limited (Automotif) dan Rolls Royce plc (Aeronautik).

Walaupun Rolls Royce merupakan jenama yang sangat lama sejak 1906, akan tetapi sejak diambil alih oleh BMW AG syarikat ini tidak mempunyai hubungan khusus terhadap model-model sebelum tahun 2003.

Ketika itu Rolls Royce dimiliki oleh Bentley yang merupakan anak syarikat Volkswagen AG. Jadi, sekarang ini syarikat Rolls Royce dibawah payung BMW AG cuma boleh boleh “claim” model Phantom, Ghost, Wraith, Dawn & Cullinan.

Jadi, model Rolls Royce circa 1998-2003 adalah milik Volkswagen AG, 2003-sekarang pula milik BMW AG. Walaupun syarikat induk Rolls Royce ini dari Jerman, identiti asal British masih lagi dikekalkan pada setiap kenderaan yang dikeluarkan. Memang ini lah permainan dunia korporat automotif. Bukan Proton je ye Tuan-Tuan sekalian.

Jadi hari ini saya akan fokus kepada model “Hantu” daripada Rolls Royce iaitu model Ghost. Hantu = Ghost. Ghost = Hantu.

Model ini diproduksikan pada tahun 2009 hingga sekarang. Bermakna sudah 10 tahun model ini berada di pasaran. Kod Chassis kenderaan ini dikenali dengan “RR4”. Ia dibina khusus lebih kecil dan “lebih murah” daripada model Phantom.

Kenderaan ini dilahirkan di United Kingdom hasil rekaan Mr. Andreas Thurner dan Mr. Charles Coldham. Ia berkongsi Chassis dengan model BMW F01 7-Series.

Jadi, boleh dikatakan beberapa komponen boleh dikongsi oleh kedua-dua model ini. Dimensi kenderaan ini adalah sepanjang 5,399mm, selebar 1,948mm dan setinggi 1,550mm. Besar ya amat !

Enjin dibekalkan oleh pihak BMW dengan kod N74B66 V12-T. V12 Twin Turbo Tuan-Tuan. Enjin ini bersesaran 6,592cc. Jangan tanya tentang cukai jalan kerana sesiapa yang memiliki Rolls Royce tidak akan ambil kisah dengan kos cukai jalan.

Dua unit turbo disumbangkan oleh pihak Garrett dengan turbo model GT2260S. Unit Transmisi dibekalkan oleh pihak ZF menerusi sistem Transmisi Automatik 8-kelajuan dengan kod 8HP90.

Hasil gabungan enjin dan transmisi ini kuasa yang dapat dihamburkan adalah sebanyak 562hp pada 5,250rpm dan Torque sebanyak 780Nm pada 1,500rpm. Amboi, cepat betul Torque dia sampai.

Kenderaan ini mampu memecut dari 0-100km/h dalam hanya 4.7 saat sahaja. Kelajuan tertinggi pula adalah 250km/h dengan sekatan elektronik. Kadar penggunaan bahan api adalah sebanyak 13.6L/100km.

Pada tahun 2014, pihak Rolls Royce mengeluarkan Ghost Series II. Perubahan ketara dapat dilihat pada wajah kenderaan ini serta sistem transmisi yang dinaiktaraf. Paling ketara adalah rekaan lampu.

Model Ghost Series II ini masih mengekalkan enjin N74B66. Sistem Transmisi dinaiktaraf dengan menggunakan transmisi model 8HP95 Automatik 8-Kelajuan. Hasilnya, Torque yang terhasil adalah lebih tinggi iaitu 820Nm pada 1,500rpm.

GHOST BLACK BADGE

Pada tahun 2016, model Ghost Black Badge dilancarkan dan merupakan model Ghost paling berkuasa setakat ini. Dengan 604hp pada 5,250rpm dan Torque sebanyak 840Nm pada 1,500rpm sememangnya model ini adalah sebuah istana! Istana yang laju maksud saya.

Apa yang saya tuliskan diatas adalah spesifikasi asas bagi sebuah Rolls Royce Ghost. Komponen lain khususnya kemasan dalaman adalah berlainan bagi setiap model.

Hal ini kerana tiada model Rolls Royce yang sama spesifikasinya. Ini bertujuan untuk mengekalkan nilai eksklusif kenderaan ini. Sebab tu lah mahal.

Dengan tag harga sekitar RM800,000 – RM2.3juta bagi model terpakai dan recon, kenderaan ini sememangnya berbaloi untuk dimiliki oleh Tan Sri dan Datuk yang layak secara merit dan bukan beli. Juga untuk syarikat valet. Tidak lupa juga kepada orang-orang kaya di seluruh Malaysia tanpa tunggakan cukai. Jangan main-main dengan LHDN.

Sekarang kita pergi ke kos penjagaan pula.

🛠SERVIS

🔧Engine Oil Service Package
Kapasiti minyak engine bagi kenderaan ini berjumlah 12 Liter. Kelikatan yang disarankan pula adalah 5W-30 Fully Synthetic. Kosnya adalah dalam lingkungan RM1,600-RM2,500.

🔧Transmission Service Package
Kalau dah model ZF, takdelah leceh sangat nak menservisnya. Cuma bila dah namanya Rolls Royce, jadi mahal. Hahaha.

Service Kit untuk model ini merangkumi :-
Fluid
Filter
Transmission Pan Gasket
Drain Plug & Washer
Labour
Kos adalah dalam lingkungan RM3,500-RM4,000

🛠COMMON WEAR & TEAR PARTS

🔧Front Brake Pad
Tengok saiz angkup brek je dah takut. Memang besar. Besar = mahal. Kos adalah dalam lingkungan RM2,700-RM3,000

🔧Rear Brake Pad
Belakang pun boleh tahan harganya. Harganya dalam lingkungan RM1,200-RM1,500

🔧Brake Disc/Rotor
Rotor adalah satu benda yang akan habis. Sama juga seperti brake pad, cuma jangka hayatnya lebih lama dari pad. Kos adalah dalam lingkungan RM9,500-RM10,000 bagi keempat-empat unit rotor. Ingat ye, akan habis bermakna nak taknak anda akan keluarkan juga amaun sebanyak ini.

🔧Tayar
Saiznya adalah 255/45/20 untuk depan dan 285/40/20 untuk belakang. Boleh cari sendiri harganya tapi dijamin tidak murah.

🔧Air Spring
Sistem suspensi kenderaan ini menggunakan udara. Air Suspension mat saleh panggil. Ia mempunyai “Air Bellows” untuk menyimpan udara didalamnya. Juga dipanggil “Air Spring”. Ehem, “Air Spring” ni memang mudah terdedah kepada kerosakan. Jadi, jika rosak, harganya dalam sekitar RM30,000.

🔧Belt & Tensioner Set
Belt ini menghubungkan kuasa dari enjin untuk memacu unit compressor dan alternator. Bila tukar tu, alang-alang tukar lah sekali unit Tensioner tu kalau dah mula mengeluarkan bunyi. Kosnya sekitar RM1,800-RM2,500.

🔧Spark Plug
Ketiga-tiga model ini mempunyai enjin 12 silinder, jadi 12 biji spark plug yang diperlukan. Kos adalah dalam lingkungan RM1,800. Fuhh mahal bohhh !!! Barulah Rolls Royce !!

🔧Ignition Coil
Haa, yang ni takde lah mahal mana. Pakai pun komponen BMW. Sebatang dalam lingkungan RM300 je.

🔧Engine & Gearbox Mounting
Masalah ni agak biasa. Ye lah, enjin V12 ditambah pulak unit gearbox yang besar bapak. Memang stress lah Engine & Gearbox Mounting ni. Dalam Engine Mounting ni ada minyak, jadi bila cek nampak minyak meleleh je sahih lah rosak. Harga? Untuk set harganya sekitar RM5,500

🔧Waterpump & Thermostat
Lokasi Waterpump dan Thermostat ni adalah sama. Jadi, bila salah satu komponen rosak sebaiknya ditukar juga komponen yang lagi satu. Kosnya dalam lingkungan RM2,500

🔧Air Filter
Bila V12, maknanya ada Bank 1 dan juga Bank 2. Setiap Bank memerlukan Air Filter. Senang cakap, enjin ni ada dua Air Filter. Harga? Dalam RM500 sepasang.

🔧Aircond Filter
Bila dah pakai kereta mewah, takkan nak biarkan bau-bauan pelik menusuk hidung ketika memandu. Jadi, tukar lah Aircond Filter sebelum kejadian ini berlaku. Kosnya ? Sekirar RM750

🔧Oil Level Sensor
Jika komponen ini rosak, sistem tidak dapat mengesan sukatan minyak enjin yang berada di dalam enjin. Bahaya! Enjin BMW pula memang terkenal dengan masalah makan minyak enjin. Jadi, jika rosak cepat-cepat tukar. Kosnya adalah lingkungan RM1,200

🔧Aircond Compressor
Kita kena faham yang Aircond Compressor merupakan benda bergerak (Moving Item). Apabila bergerak, ia mempunyai jangka hayat. Lagi lah di Malaysia ini Aircond memang satu keperluan. Jika komponen ini rosak harganya dalam dalam lingkungan RM12,000

🔧Alternator
Malang tak berbau, kalau kena hari malang benda ni rosak, maka kerugian dianggarkan dalam lingkungan RM7,000. Upah mahal beb, ingat senang nak akses kawasan enjin V12 ?

🔧Starter Motor
Ini juga merupakan kes terpencil. Tapi tidak salah untuk kita ambil tahu. Kos bagi seunit Starter Motor adalah dalam lingkungan RM4,500.

Pada hemat saya, kos diatas tidaklah setinggi yang saya jangkakan pada awalnya. Berterima kasih pada BMW kerana perkongsian komponen menjadikan kos selenggara kenderaan mewah ini murah sedikit.

Akan tetapi, ianya masih sebuah kenderaan mewah. Sesiapa yang memakainya memang akan dipandang tinggi. Kecuali Ahli Politik, walaupun memang kaya akan dituduh pecah amanah. Haha!

Jadi, ini adalah sedikit sebanyak perkara yang saya boleh kongsikan kepada tuan tuan dan puan puan sekalian. Nasihat saya, sebelum membeli kenderaan terpakai, buatlah dulu Pre-Purchase Inspection tak kira apa jenis kenderaan pun. Ini untuk mengelakkan tuan-tuan melaburkan lebih banyak duit kepada perkara yang tidak perlu dikemudian hari. Jika wear & tear parts yang dinyatakan diatas masih elok, tidak perlulah ditukar dahulu.

Harga yang diberikan adalah “average”. Jangan melenting jika dikenakan harga yang mahal di bengkel berdekatan anda kerana harga adalah berbeza bagi setiap kawasan. Tapi jika terlalu mahal dikenakan kepada anda, rajin rajin lah buat research ya. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Google ads
Back to top button