Artikel Pilihan

BERAPA KOS NAK PAKAI SEBUAH BMW M5 F10?

SHARE
Toyo Tyre – Mrec – Desktop

Pertama sekali, siapa tak kenal dengan jenama BMW atau nama panjangnya Bayerische Motoren Werke. Jenama ini juga merupakan simbol kemewahan bukan sahaja di Malaysia, akan tetapi di seantero dunia.

Di dalam syarikat BMW, mereka mempunyai divisyen Motorsport mereka sendiri yang dikenali sebagai M Division. Tanyalah sesiapa pun yang pernah memiliki dan memandu kenderaan daripada divisyen M ini, tak kira lah dari model 1 series hingga ke 6 series. Pastinya akan merasai perbezaan ketara dengan model-model yang biasa.

Hari ini kita akan berkenalan dengan model M5 dari generasi F10. Kenderaan ini dilahirkan pada tahun 2011 dan dihentikan pengeluarannya pada tahun 2016 bagi memberi laluan kepada generasi baru iaitu F90.

Toyo Tyre – Leaderboard – Desktop

BMW M5 ini menerima enjin dengan kod S63B44TU V8 Twin Turbo bersesaran 4,395cc. Enjin ini dilahirkan pada tahun 2010 dan pada awalnya digunakan oleh model BMW X5M dan BMW X6M.

Bagi versi M5, penambahbaikan dilakukan dengan menaikkan nisbah mampatan dari 9:3:1 ke 10:1. Versi M5 ini juga menerima teknologi Valvetronic dan merupakan model divisyen M pertama yang menggunakannya.

Boost maksimum dinaikkan dari 1.3 bar ke 1.5 bar. Hasilnya? 553hp dan Torque sebanyak 680Nm seawal 1,500rpm. Haha. Liar Tuan-Tuan. Memang liar. Walaupun 5-series sinonim dengan karekteristik kereta abah-abah, bukan sebarangan abah yang mampu mengawal mesin ciptaan manusia ini.

Selain itu, enjin ini menerima sepasang turbo daripada Garrett MGT2260DSL. Sepasang Water Intercooler pula dimuatkan di dalam ruang enjin ini untuk menyejukkan boost yang terhasil.

Dah tak main dah Air Intercooler, lagi bagus pakai ni, kecil dan efisyen. Enjin ini juga mampu memacu kenderaan ini selaju 250km/h dengan sekatan elektronik. Masa yang diambil untuk sampai ke 100km/h pula adalah sepantas 4.4 saat.Bagi penggunaan bahan api pula, pihak BMW menyatakan kenderaan ini menggunakan 9.9L/Km.

Pada tahun 2014, pihak BMW mengeluarkan versi “Competition Package” dengan penambahan kuasa sehingga 591hp dan Torque sebanyak 700Nm. Sistem suspensi juga ditala kembali dan kenderaan ini direndahkan sebanyak 10mm. Semestinya lebih pantas dan hebat.

Sistem Transmisi kenderaan ini menerima Sistem Transmisi Klac Berkembar 7-Kelajuan dari pihak BMW sendiri dengan ciri Drivelogic. Model sebelum ini iaitu M5 E60 menggunakan Sistem Transmisi Getrag SMG III Single Clutch 7-Kelajuan yang mampu menawarkan penukaran gear selaju 65milisaat.

Bagi model klac berkembar pada F10 M5 ini lagi cepat. Kuasa kemudian disalurkan ke Active M-Differential dengan Torque Vectoring ke tayar belakang. Tayar belakang ? Ye. Model divisyen M memang pacuan roda belakang kecuali model M5 F90 yang terbaru ini yang dilengkapi dengan pacuan semua roda.

Jadi, dengan sedikit huraian diatas, dapatlah disimpulkan bahawa kenderaan ini merupakan kereta mewah yang laju. Jika anda merupakan seorang yang berumur 30-50, memegang jawatan tinggi di dalam syarikat seperti CEO atau COO, atau kerja makan gaji dan memperoleh 5 hingga 6 angka sebulan, rambut dah mula berkurang, perut dah mula kedepan, kenderaan ini memang untuk anda.

Ianya juga sesuai untuk Ahli Politik, RWD baru lah dapat U-Turn dengan hebat dan nampak cool gitu.

Sedikit trivia berkenaan kenderaan ini :-

  • Dilahirkan pada tahun 2011
  • Dikenali juga dengan kod chassis F10
  • Mempunyai enjin bersesaran 4,395cc dengan kod S63B44TU yang berkuasa 553hp dan Torque sebanyak 680Nm seawal 1,500rpm.
  • Direka oleh Mr. Ulf Weidhase dan Mr. Jacek Frohlich.
  • Kenderaan ini dilengkapi dengan sistem transmisi 7-Kelajuan M Double-Clutch Transmission dengan Drivelogic.
  • Kenderaan ini sekarang boleh didapati pada harga bawah RM300,000 bagi model Recon dan Used merujuk kepada mudah.my.

Cukup bab trivia, sekarang kita masuk bab penjagaan (Maintenance)

🛠SERVIS

🔧Engine Oil Service Package
Kapasiti minyak engine bagi kenderaan ini berjumlah 8.4 Liter. Kelikatan yang disarankan pula adalah 5W-30 Fully Synthetic. Kosnya adalah dalam lingkungan RM1000-RM1,600.

🔧Transmission Service Package
Model M Double-Clutch Transmission ini merupakan model klac berkembar daripada BMW. Mereka kata tak payah tukar minyak sebab tahan sampai bila-bila. Haha. Saya tak percaya. Service Kit untuk model ini merangkumi :-
Fluid
Filter & O-Ring(Outer)
Filter(Inner)
Transmission Oil Pan
Labour
Kos adalah dalam lingkungan RM3,500-RM4,000

🛠COMMON WEAR & TEAR PARTS

Memang BMW sinonim juga dengan Banyak Makan Wang. Kita sama-sama lihat berapa banyak wang yang mampu dimakan.

Baiklah, kita mulakan.

🔧Front Brake Pad
6-Piston Caliper Tuan-Tuan. Tak perlu cakap banyak marilah berhuhu. Kos adalah dalam lingkungan RM1,800-2,500.

🔧Rear Brake Pad
Floating Caliper biashe biashe je sebab pakai E-Brake. Harganya juga biashe biashe juga lah. Harganya dalam lingkungan RM600-RM800

🔧Brake Disc/Rotor
Rotor adalah satu benda yang akan habis. Sama juga seperti brake pad, cuma jangka hayatnya lebih lama dari pad. Kos adalah dalam lingkungan RM6,000-RM9,000 bagi keempat-empat unit rotor.

Tapi kalau model anda datang dengan Carbon Ceramic Rotor, bersedialah dengan harga RM70,000 bagi keempat-empat unit rotor. Mahal? Dekat rotor pun ada Cop Mohor M-Division bossku. Cop tu yang mahal. Haha

🔧Clutch
Sistem kenderaan ini menggunakan klac berkembar (Dual-Clutch). Antara sifat clutch adalah lambat laun ia akan habis juga. Sama ada habis, atau terbakar “burnt”. Kos untuk menukar set clutch adalah dalam lingkungan RM15,000.

🔧Tayar
Saiznya adalah 265/35/20 untuk depan dan 295/30/20 untuk belakang. Fuhh, berpeluh. Harga cari sendiri.

🔧Absorber
Sampai masanya, mana-mana absorber pun akan hilang keupayaannya. Bagi model M5 ini, tak murah Tuan-Tuan. Apatah lagi kekerasannya mampu dikawal secara elektronik. Kalau tukar kosnya dalam lingkungan RM4,700-RM6,000 seunit. Kali kan lah dengan 4. Huhuhu

🔧Belt & Tensioner Set
Belt ini menghubungkan kuasa dari enjin untuk memacu unit compressor dan alternator. Bila tukar tu, alang-alang tukar lah sekali unit Tensioner tu kalau dah mula mengeluarkan bunyi “duitduitduit”. Kos untuk menukar belt set ini dalam lingkungan RM1,500-RM2,000

🔧Spark Plug
Ketiga-tiga model ini mempunyai enjin 8 silinder, jadi 8 biji spark plug yang diperlukan. Kos adalah dalam lingkungan RM1,200-RM1,500

🔧Ignition Coil
Ignition Coil buatan Bosch ni dari zaman E46 lagi dah guna. Masih boleh digunakan untuk M5. Harganya dalam lingkungan RM250 seunit. Okay lah kan. Boleh layan lagi.

🔧Engine & Gearbox Mounting
Masalah ni agak biasa. Ye lah, enjin V8 ditambah pulak unit gearbox yang besar bapak. Memang stress lah Engine & Gearbox Mounting ni. Dalam Engine Mounting ni ada minyak, jadi bila cek nampak minyak meleleh je sahih lah rosak. Harga ? Untuk set harganya sekitar RM3,700-RM4,500.

🔧Oil Pump
Masalah ini juga agak biasa bagi model M5. Jangan buat main dengan masalah Oil Pump. Kalau berlengah memang jahanam terus enjin anda. Kerugian dianggar sebanyak RM5,000-RM6,500.

🔧Air Filter
Bila V8, maknanya ada Bank 1 dan juga Bank 2. Setiap Bank memerlukan Air Filter. Senang cakap, enjin ni ada dua Air Filter. Harga ? Dalam RM400 sepasang.

🔧Intercooler Intake Tube
Komponen ini getahnya selalu mengeras dan mengakibatkan Boost Leak. Bila ada kebocoran Boost maka CEL akan menyala. Lebih malang jika kedua-dua Intercooler Intake Tube bocor. Kerugian dianggarkan sebanyak RM780 seunit.

🔧Coolant Feed Pipe
Komponen ini pun selalu bocor. Lagi malang kalau kedua-dua belah paip bocor. Kedudukannya betul-betul di atas enjin. Harga ? RM750 seunit.

🔧Radiator
Biasalah, bocor. Masalah apa lagi kan. Kereta ni ada dua unit radiator. Depan dan belakang. Depan kecil, belakang besar. Depan berharga lingkungan RM2,700 dan belakang berharga lingkungan RM3,000. Kalau dua dua bocor tambahkan saja jumlah ini. Hahaha.

🔧Aircond Filter
Ni bukan sahaja M5, Malaysia Supercar Perodua Myvi pun perlu tukar Aircond Filter bila sampai masanya. Bila tu ? Bila korang on Aircond dan bau bauan pelik mula keluar. Harga ? RM450

🔧Aircond Compressor
Kita kena faham yang Aircond Compressor merupakan benda bergerak (Moving Item). Apabila bergerak, ia mempunyai jangka hayat. Lagi lah di Malaysia ini Aircond memang satu keperluan. Jika komponen ini rosak harganya dalam dalam lingkungan RM6,200-RM8,000

🔧Alternator
Satu je, jangan lah rosak. Kalau rosak ? Kerugian dianggarkan dalam lingkungan RM5,500-RM6,500.

🔧Starter Motor
Ini juga merupakan kes terpencil. Tapi tidak salah untuk kita ambil tahu. Kos bagi seunit Starter Motor adalah dalam lingkungan RM4,500-RM6,000

🔧Kunci
Bukan rosak, tapi ramai yang suka hilangkan atau tak sengaja hilangkan. Nak buat baru ? Boleh. Harga dalam lingkungan RM1,800.

Pada hemat saya, poket yang tebal diperlukan untuk membela mesin ini. Sesuai dengan tagline BMW iaitu “The Ultimate Driving Machine”. Ianya datang dengan pakej penyelenggaraan yang mahal.

Ada juga yang tak cukup dengan kuasa yang mampu dihamburkan. Kami berpengalaman menala beberapa unit M5 sehingga mencapai lebih 800whp.

Kami juga berpengalaman melihat beberapa enjin M5 pecah di dyno disebabkan masalah Oil Pump. Hahaha. Sama-sama berhuhu dengan pemilik. Cara senang boleh dapatkan unit JB4 dari Burger Motorsport. Hanya plug & play dan gunakan Map yang sudah tersedia. Cukup lah. Jangan tamak kuasa.

Jadi, ini adalah sedikit sebanyak perkara yang saya boleh kongsikan kepada tuan tuan dan puan puan sekalian. Nasihat saya, sebelum membeli kenderaan terpakai, buatlah dulu Pre-Purchase Inspection tak kira apa jenis kenderaan pun. Ini untuk mengelakkan tuan-tuan melaburkan lebih banyak duit kepada perkara yang tidak perlu dikemudian hari. Jika wear & tear parts yang dinyatakan diatas masih elok, tidak perlulah ditukar dahulu.

Harga yang diberikan adalah “average”. Jangan melenting jika dikenakan harga yang mahal di bengkel berdekatan anda kerana harga adalah berbeza bagi setiap kawasan. Tapi jika terlalu mahal dikenakan kepada anda, rajin rajin lah buat research ya. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Tags
Google ads
Back to top button