Artikel Pilihan

SALAH TANGGAPAN PEMANDU TERHADAP KENDERAAN TEKNOLOGI HIBRID

Setiap kali kami membawa atau memandu uji kereta petrol dengan teknologi hibrid maka akan timbul pelbagai persoalan, pertanyaan dan juga kegusaraan pengguna terhadap teknologi hibrid yang dipasarkan di pasaran tempatan.

Kebanyakan isu atau persoalan yang timbul apabila pengguna kurang pendedahan dan juga mendapat maklumat yang salah berkenaan dengan teknologi hibrid itu sendiri walaupun teknologi ini sudah lama diperkenalkan dan digunakan di sini.

Jadi kami akan huraikan kenapa teknologi hibrid lambat berkembang dan beberapa soalan yang selalu diterima oleh penulis berkenaan dengan teknologi hibrid yang digunakan oleh Toyota Corolla Cross dan juga HRV e:HEV RS (termasuk Honda City e:HEV RS).

1. Kenapa pengguna Malaysia kurang membeli kereta hibrid?

Sebab pihak kerajaan masih lagi memberikan subsidi bahan api bagi mengekalkan harga petrol terutama RON 95 yang menetapkan harga runcit RM 2.05 seliter. Mengikut satu laporan, kerajaan membelanjakan sekitar RM 77.7 billion untuk subsidi bahan api pada tahun 2022. Alangkah baik jika subsidi ini dibelanjakan untuk sektor pendidikan dan kesihatan awam.

Sebagai perbandingan, harga petrol di Thailand yang telah dicampur dengan alkohol (disebut sebagai gasohol) RON 91 ialah RM 4.50 telah memaksa pengeluar kenderaan di Thailand menawarkan lebih banyak varian hibrid di sana. Sapa nak isi petrol kalau dah RM 4.50 seliter? Malah Honda HRV hanya ditawarkan dalam varian hibrid sahaja di sana

2. Enjin hibrid ni jimat petrol, jadi tak power kan?

Seperti yang sedia maklum, trenkuasa hibrid ini ada dua iaitu menggunakan motor elektrik dan juga enjin pembakaran dalam yang bertindak sebagai pengecas bateri sistem dan juga memacu roda dalam keadaan yang memerlukan. Malah jika kuasa pecutan maksima diperlukan, enjin akan bergabung tenaga dengan motor elektrik bagi tujuan pecutan

Sebagai contoh Toyota Corolla Cross 1.8 menjana 138 kuasa kuda dan 178Nm tork. Bagi varian hibrid gabungan kuasa motor elektrik dan enjin 1.8 4 silinder menghasilkan 122 kuasa kuda

3. Jadi kenapa gabungan enjin dan motor elektrik hasilkan kuasa yang lebih rendah?

Sebab enjin kereta hibrid beroperasi dan motor elektrik beroperasi pada julat RPM yang berbeza. Enjin 1800cc 4 silinder ini menghasilkan 97 kuasa kuda pada 5200 RPM dan 142Nm tork pada 4200 RPM. Motor elektrik pula menghasilkan 71 kuasa kuda pada 5200 RPM dan 163Nm tork pada 3600 RPM. Kata kunci di sini ialah motor elektrik dan enjin beroperasi pada julat yang berbeza.

4. Tapi enjin 1800cc tue kuasa macam enjin 1.5 je, mesti tak power.

Bagi enjin kereta hibrid, ia akan beroperasi dengan kitaran Atkinson dimana lejang kuasa akan sentiasa lebih besar berbanding dengan lejang mampatan. Cerita mudah dia, piston bergerak lebih jauh dalam lejang kuasa berbanding dengan lejang mampatan.

Cara lejang ini dihasilkan ialah dengan membiarkan injap kemasukan terbuka lebih lama sewaktu lejang mampatan berlaku. Ia dicapai dengan operasi sistem dual VVT-i. Hasilnya enjin lebih efisyen tapi mengorbankan kuasa enjin. Sebab itulah Corolla Cross Hibrid hanya menghasilkan 97 kuasa kuda manakala HR-V hibrid pula hanya menjana 105 kuasa kuda sahaja

5. Jadi betul la enjin hibrid tak power?

Tak salah kenyataan itu sebab kekurangan kuasa enjin akan ditutup oleh motor elektrik akan menghasilkan tork yang lebih tinggi pada RPM yang lebih rendah, 163Nm tork pada 3600 RPM bagi motor elektrik yang digunakan oleh Corolla Cross Hybrid. Bagi HR-V hibrid pula, ia menjana 253Nm seawal 0 RPM menjadikan pecutannya lebih lancar.

Corolla Cross hibrid boleh memecut lebih pantas berbanding varian varian 1.8 petrol, 2 saat lebih pantas bagi pecutan 0-50km/jam dan 1.7 saat lebih pantas bagi pecutan 0-80km/jam. Cuma kekurangan kenderaan hibrid ialah top speed dimana ia lebih rendah berbanding varian petrol. Tapi ada ke oramg pandu kereta hibrid laju-laju nak berlumba?

6. Bateri hibrid cepat kong.

Salah tue, bateri hibrid biasa akan dilindungi oleh jaminan pengeluar sehingga 8 tahun selepas kenderaan didaftarkan. Lama sangat 8 tahun ini, silap silap masa tahun ke 5 atau 6 anda dah jual dan beli kereta baru.

Malah Toyota menawarkan jaminan tambahan 2 tahun lagi dengan kos RM 2950 sahaja tanpa had jarak perbatuan. Sebenarnya selain bateri, Toyota juga memberi jaminan kualiti pada sistem IPU (Intelligent Power Unit), dan juga Inverter selama 8 tahun atau menjadi 10 tahun.

7. Tapi bateri hibrid mahal kan?

Ye bateri hibrid memang mahal, malah mana-mana bateri sistem termasuk kereta elektrik adalah mahal. Bagi Toyota Corolla Cross kos bateri ialah RM 8500 tapi anda tak perlu menukar bateri hibrid setiap tahun. Kajian Toyota di Singapura mendapati teksi Toyota Prius di sana telah dipandu sejauh 150,000km selama 10 tahun.

Pemeriksaan mendapati Prius yang dijadikan teksi masih lagi boleh dipandu lagi selama 10 tahun tanpa masalah. Malah banyak Toyota Prius terpakai, diimport dari Jepun dan digunakan sebagai teksi di Myanmar melalui import kereta terpakai/Reconddition unit. Dengan servis yang minima, Toyota Prius boleh beroperasi di Myanmar tanpa masalah

Katakanlah anda perlu menukar bateri selepas 10 tahun, kos penukaran bateri ialah RM 850 setahun. Atau jika perlu digantikan selepas 15 tahun atau 200,000km, kos penggantian bateri hanyalah RM 567 setahun sahaja.

8. Enjin dengan komponen hibrid adalah kompleks, pening kepala untuk servis.

Kenyataan ini pun sebenarnya salah kerana komponen hibrid tidak perlu diservis langsung serta tidak memerlukan penyelenggaraan secara berkala. Anda boleh menyemak maklumat servis Honda HR-V hibrid dan Toyota Corolla Cross Hybrid dan mendapati pakej servis adalah sama dengan kenderaan petrol

9. Komponen hibrid dan bateri berat, menjejaskan kualiti pemanduan

Hmm mungkin kereta hibrid dulu sarat dan padat dengan komponen sehingga menjadikan ruang kargo belakang adalah terhad. Tapi bagi kenderaan hibrid terkini, saiz komponen menjadi semakin kecil dan kompak.

Malah bateri hibrid disimpan di bawah kusyen barisan belakang membolehkan tayar kecemasan diletakkan dalam ruang kargo belakang, satu kelebihan bagi Corolla Cross Hybrid berbanding Honda HR-V Hibrid.

Apabila bateri hibrid diletakkan di bawah kusyen, ia berada rendah dan berhampiran pusat graviti menjadikan pemanduan lebih seronok disebabkan momen of inertia kenderaan adalah rendah sewaktu mengambil selekoh

10. Cuaca di Malaysia ini panas sebab cuaca tropika, nanti bateri cepat rosak.

Ia merupakan satu isu yang telah lama diselesaikan oleh pengeluar bagi memastikan komponen bateri tahan lebih lama. Toyota memilih untuk menggunakan bateri nickel metal hydride sebagai komponen utama bateri berbanding dengan ion lithium disebabkan ketahanannya terhadap haba dan suhu tinggi

Honda dan Toyota biasa memasang satu lagi kipas yang akan menyedut udara kabin yang sejuk bagi tujuan penyejukan bateri hibrid. Kaedah ini biasa akan memastikan bateri sentiasa beroperasi pada suhu yang optimum pada sepanjang masa.

Google ads
Back to top button