BuletinMotosikal

SAMURAI GENTIAN KARBON REKAAN GREAT JAPAN (TAPI DARI UKRAINE, BUKAN JEPUN!)

Motosikal di dalam gambar di atas ialah model konsep diperbuat daripada gentian karbon rekaan Great Japan. Ia memberi gambaran awal tentang rekaan motosikal yang mungkin akan dicipta pada masa hadapan.

Great Japan bukanlah merujuk kepada negara Jepun tetapi ia adalah alias yang digunakan oleh dua orang pereka dari Ukraine dan Belarus, Vladimir Panchenko dan Artem Smirnov (macam gabungan Abang Japar dan Pak Amid).

Kedua pereka ini telah menghasilkan tidak kurang daripada 40 produk berinspirasikan fiksyen sains yang lain dari yang lain. Kebanyakannya dihasilkan dalam bentuk grafik resolusi tinggi yang sangat kemas, membuatkan ramai yang tidak mampu membezakan sama ada ia model sebenar ataupun sekadar lakaran grafik.

Kedua pereka ini berpendapat pendekatan warga Jepun dalam penghasilan produk automotif adalah sesuatu yang tulen diasaskan daripada seni artistik gabungan antara lipatan origami yang cukup lembut dan semangat juang samurai yang tinggi.

Bagaimanapun dari perspektif mereka, seni tersebut kian menghilang kini dari pengeluar kereta dan motosikal Jepun. Hasilnya, kini cukup sukar untuk membezakan rekaan Eropah dan Jepun. Tiada lagi konsep gabungan keringkasan dan ruang yang ada pada kenderaan Jepun suatu ketika dahulu.

Motosikal konsep samurai dari gentian karbon ini direka untuk mengembalikan  konsep rekaan Jepun yang sudah lama hilang.

Nama samurai dipilih dengan meletakkan kedudukan samurai sebagai adiwira yang bakal memberi inspirasi rekaan model baharu. Katakan jika motosikal ini dihasilkan sekalipun rasanya ramai yang akan berfikir lebih dari dua kali sebelum membelinya berikut rekaan radikal dan kemampuan enjinnya. Kemungkinan ia dihasilkan pun sememangnya agak tipis dan mungkin akan hanya kekal sebagai sebuah model konsep.

Namun begitu Vladimir dan Artem percaya ia akan memberi inspirasi kepada pengeluar motosikal untuk mengambil risiko yang lebih besar dan menghasilkan rekaan yang lebih dramatik dan mengagumkan. Samurai ini contohnya, kelihatan seperti sebuah motosikal yang keluar dari dua virtual reality (VR) dan ia kelihatan cukup seronok untuk ditunggang.

Walaupun model dengan elemen retro banyak muncul hari demi hari seperti cafe racer contohnya, rekaan futurisitk seperti ini memang akan menyegarkan hari anda. Malangnya kedua pereka ini bukannya penunggang motosikal jadi tidak ada sebarang spesifikasi teknikal diberikan.

Bagaimanapun jika dilihat pada radiator dan pacuan rantai yang ada padanya, ia mungkin diasaskan daripada model yang menggunakan enjin pembakaran dalaman biasa. Jika benar, itu mungkin satu pembaziran kerana ruang yang ada memungkinkan pemasangan motor elektrik dan bateri bersaiz besar. Dengan bantuan pakej aero pula tidak mustahil ia mampu menjadi sebuah motosikal elektrik untuk jarak jauh.

Sebenarnya memang banyak yang menarik tentang motosikal ini. Contohnya sistem lampu LED yang diintegrasikan sepenuhnya dengan rekaan badan motosikal, pelana solo yang terapung dan sepasang sistem suspensi belakang memang sesuatu yang mengagumkan.

Sebagai tambahan, pereka-pereka motosikal ini juga telah menyiapkan sebuah side-car aerodinamik yang cukup futuristik untuk digabungkan dengan motosikal ini (maklumlah ini motor single rider).

BACA: KONSEP MOTOSIKAL “TERBANG” OLEH BMW

BACA: KERETA KONSEP VANDA DENDROBIUM DARI SINGAPURA

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button