BuletinMotosikal

SAWASDEE – THAILAND IALAH LOKASI TERBARU KALENDAR MOTOGP 2018

MotoGP akan dianjurkan di Thailand atau dengan lebih tepatnya di Litar Buriram pada tahun hadapan. Demikian selepas dipersetujui oleh Dorna Sports, pemilik hak komersil MotoGP. Litar Buriram bukannya asing buat peminat perlumbaan motosikal dunia kerana ia juga menjadi lokasi satu lagi perlumbaan motosikal antarabangsa iaitu World Superbikes (WSBK).

CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta akan terbang ke Bangkok dan menandatangani kontrak perjanjian penganjuran dengan pihak berkuasa sukan Thailand diwakili oleh Gabenor Sakon Wannapong.

BACA: MEMORI JENTERA MOTOGP – GP500 2 LEJANG

Litar Buriram lebih dikenali dengan nama Chang International Circuit telah dibuka pada tahun 2014. Ia mempunyai kapasiti penonton seramai 100,000 orang dan memiliki kelulusan gred 1 (FIA) dan gred A (FIM). Litar ini mempunyai panjang 4.554 kilometer dengan 12 selekoh yang akan mencabar kemampuan mana-mana pemandu dan pelumba yang berani mencabarnya.

Litar tersebut sepatutnya mula menjadi tuan rumah perlumbaan MotoGP pada musim 2017 ini tetapi terpaksa dilewatkan atas masalah yang melibatkan penajaan. Dikatakan Thailand juga akan menjadi tuan rumah perlumbaan pada penghujung musim 2018 dan tarikh yang dirancang ialah pada 5-7 Oktober 2018. Sebanyak 19 pusingan perlumbaan akan diadakan tahun hadapan berbanding cuma 18 pusingan pada tahun ini.

Semua pasukan bertanding akan dapat melakukan ujian awal musim di litar tersebut pada Februari depan sebagai salah satu lokasi jadual ujian musim dingin yang disusun semula. Inilah peluang untuk bikers dari Malaysia menyaksikan satu lagi pusingan MotoGP selain dari GP Malaysia. Boleh booking hotel cepat-cepat.

Selain Thailand yang akan memeterai perjanjian untuk penganjuran MotoGP selama tiga tahun bermula tahun hadapan, Finland juga menyertai Thailand dalam menjadi tuan rumah MotoGP buat pertama kali dalam tahun 2019. Ini bermakna pusingan perlumbaan akan bertambah menjadi 20 pusingan jika tidak ada mana lokasi digugurkan.

Perlumbaan di Finland akan dilakukan di Kymi Ring dan ini merupakan kali pertama MotoGP kembali ke Finland selepas hampir 40 tahun. Litar ini baru sahaja dibuka dan mempunyai sebanyak 18 selekoh.

Google ads
Back to top button