
SDAC KUKUH KOMITMEN MEMBERDAYA MASYARAKAT ORANG ASLI MELALUI PROGRAM OA-ECO FARM
Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia telah mengukuhkan lagi komitmen syarikat untuk memberdaya masyarakat Orang Asli melalui kerjasama kali kedua dengan Yayasan Keamanan Global (Global Peace Foundation) Malaysia.
Usaha bersama itu kali ini memberi tumpuan terhadap menyokong program OA-Eco Farm oleh GPF di empat perkampungan Orang Asli di Kuala Rompin, Pahang.
Program OA-Eco Farm merupakan usaha penanamaan makanan, bertujuan untuk peningkatan sara diri serta meraih pendapatan mapan dalam kalangan keluarga Orang Asli.
Sehubungan itu, ia menyediakan latihan praktikal, serta subsidi terhadap perkakas dan juga benih.

Disokong oleh sumbangan dana sebanyak US$10,000 (RM45,745) daripada dana tabung Ford Motor Company (Ford Motor Company Fund), seramai 22 sukarelawan dari SDAC menyertai usaha berkenan dengan pasukan GPF untuk melawat tiga perkampungan terlibat pada 9 Mac.
Cabaran utama penanaman makanan dalam golongan ini adalah sumber yang terhad untuk membeli benih, kelengkapan pembenihan dan perkebunan, serta cabaran alam sekitar seperti cuaca kering, tanah kering serta keras.
Lebih dikenali sebagai kelompok pemburu, kemahiran dalam teknik penanaman mapan untuk menguruskan kesihatan tanah adalah penting untuk menuai hasil.
Dengan kesungguhan untuk menyokong komuniti masyarakat yang rentan dengan cara memupuk keupayaan daya tahan mereka, GPF melancarkan program OA-Eco Farm bagi mengatasi masalah ini.

Menurutnya, usaha berkenaan tidak hanya mempertingkatkan kehidupan golongan Orang Asli tetapi turut mempromosi amalan mapan serta pemuliharaan alam sekitar.
Program berkenaan menerapkan kaedah penanaman yang menyeluruh dikenali sebagai Syntropic Farming, menghidupkan semula eko-sistem serta membugarkan tanah bagi memastikan sekuriti makanan dan kemapanan.
Selain latihan, tunjuk ajar dan subsidi, yayasan ini telah mewujudkan pasar dalam talian untuk pekebun Orang Asli supaya menjana lebih banyak pendapatan daripada tanaman mereka.
Menerusi laman sesawang GPF, pasar dalam talian berkenaan, dipanggil Kebun Amai menampilkan pelbagai buah-buahan dan sayuran segar serta produk-produk berkaitan lainnya daripada pekebun.
Sejak pengenalannya, GPF telah bekerjasama dengan lebih 70 perkampungan untuk menyediakan capaian kepada air bersih, tenaga, kehidupan mapan serta pendidikan.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Yayasan Keamanan Global dan untuk menyumbang kepada komuniti Orang Asli, layari https://globalpeace.org.my/
Untuk maklumat lanjut tentang SDAC dan Ford, ikuti Ford Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter dan saluran YouTube atau layari www.sdacford.com.my