
HORMAT AZLAN SHAH DAN HAFIZH SYAHRIN, KEDUA-DUANYA PELUMBA NEGARA
Baru-baru ini telah berlangsungnya pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2024 di Litar Buriram, Thailand yang menyaksikan pasukan dari Malaysia, TKKR Racing Team dan JDT Racing Team masing-masing melakar kejayaan.

TKKR yang diterajui Azlan Shah Kamaruzaman dengan jentera BMW S 1000 R berjaya memenangi Race 1 kategori ABS1000 pada Sabtu sementara Hafizh Syahrin (JDT Racing Team) yang alami masalah jentera (Ducati Panigale V4 R), bangkit pada Race 2 untuk menaiki podium di tempat kedua.
Nama Azlan sememangnya gah di pentas ARRC apabila menjuarai musim pertama bagi kategori ASB1000 pada 2019 yang merupakan kejuaraan ketiga miliknya selepas 2013 dan 2017 bagi kategori SuperSport 600cc.

ARRC kemudiannya menyepi selama dua musim ekoran Covid-19 sebelum kembali pada 2022 yang menyaksikan seorang lagi pelumba tempatan, Zaqhwan Zaidi juara diikuti Markus Reiterberger – gandingan Azlan Shah di TKKR – pada musim 2023.
Walaupun Azlan sudah pun mencecah usia hampir empat dekad, namun bekas pelumba Kejuaraan Dunia Moto2 itu masih lagi antara pilihan utama musim ini.

Kemampuannya terbukti apabila walaupun beraksi dengan jentera yang sudah berusia setahun namun dia masih unggul untuk menang Race 1. Tidak dilupakan, tekanan kewangan yang melanda TKKR musim ini langsung tidak menggugat kemampuannya pasukan itu di litar.
Bagaimanapun, musim 2024 bertambah rancak dengan penyertaan sulung JDT Racing Team yang diterajui Hafizh selaku tonggak utama.

Bertulangkan pengalaman di MotoGP, aksi Hafizh sememangnya dipantau rapat peminat sukan permotoran tempatan. Namun, beraksi dengan lencana JDT turut menyaksikan peminat bola sepak pasukan itu menerjah ‘page’ media sosial TKKR dan Azlan sendiri.

Senario itu juga memaksa Azlan memberi pesanan di media sosial.
“Di litar kami lawan, di luar kami kawan. Kami bersukan secara aman, tiada ‘hate’ tiada masalah.
“Jangan cuba lagakan ‘rider’ Malaysia. Kami bawa satu bendera. Ingat tu,” jelas Azlan.
Walaupun dari sudut positif penglibatan JDT Racing Team boleh menarik lebih ramai peminat ke ARRC seperti dilakukan TKKR Racing beberapa tahun ini namun peminat sendiri perlu sedar sukan permotoran dan bola sepak adalah gelanggang berbeza.

Ini kerana walaupun berlainan pasukan, Azlan Shah dan Hafizh masing-masing membawa bendera negara di pentas ARRC.
Sekiranya ada pihak yang masih mahu melagakan kedua-dua pihak ini, mungkin lebih baik anda kekalkan polemik tersebut di peringkat kelab bola sepak sahaja. Ini kerana sukan permotoran melangkau lebih dari sempadan negeri terutamanya apabila bersaing di peringkat antarabangsa.