Buletin

MAZDA LABUR RM120 JUTA BINA KILANG PEMASANGAN DI INDONESIA

PT Eurokars Motor Indonesia (EMI), selaku pengedar kenderaan Mazda di Indonesia, baru-baru ini mengumumkan akan membina kilang pemasangan di Indonesia bernilai IDR 400 bilion (RM120 juta).

Pembinaan kemudahan ini menandakan lembaran baharu dalam perkongsian antara Mazda Motor Corporation (MC) dan PT EMI.

Menurutnya, jenama Jepun ini telah memilih wilayah Jawa Barat sebagai lokasi kilang pemasangan kenderaan domestiknya.

Dinyatakan PT EMI memilih jenis crossover kompak sebagai model yang akan dikeluarkan di Indonesia, kerana menyaksikan peningkatan populariti dalam segmen tersebut.

“Kami berbesar hati kerana diberi kepercayaan Mazda Motor Corporation untuk membina pusat pemasangan di Indonesia dan sudah tentu kami akan memenuhi permintaan pelanggan Mazda di Indonesia dengan lebih cekap,” kata Pengarah Urusan PT EMI, Ricky Thio.

Sementara itu, Ricky turut menyatakan komitmennya untuk mengekalkan standard kualiti kenderaan Mazda pemasangan tempatan untuk pelanggan di Indonesia.

“Tidak lain dan tidak bukan untuk mempunyai kualiti yang setara dengan kenderaan Jepun dibina sepenuhnya (CBU),” tambah Ricky.

Sementara itu, keputusan untuk mewujudkan kemudahan di Indonesia adalah kerana Mazda di Jepun telah menjalankan pelbagai kajian dan melihat potensi besar dalam pasaran Indonesia.

Dengan rancangan serta pelaburan yang dibuat, Mazda berkata ia berharap untuk menjadi pemain utama dalam memacu pertumbuhan industri automotif dan ekonomi di Indonesia.

“Kami mengutamakan sumbangan kami untuk memperkasakan masyarakat setempat khususnya di wilayah Jawa Barat.

“Justeru, kami komited untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi masyarakat, bagi membantu masyarakat membangun,” jelas Ricky.

Google ads
Back to top button