" "
Buletin

SEBELUM BERGABUNG DENGAN HONDA, NISSAN PERLU TINGKATKAN KEUNTUNGAN

Nissan berdepan cabaran besar dalam usaha penggabungan dengan Honda, terutamanya dari segi kewangan.

Syarikat ini perlu meningkatkan keuntungan operasi kepada kira-kira RM11.7 bilion menjelang Ogos 2026 untuk memastikan penggabungan berjalan lancar.

Namun, pada separuh pertama tahun kewangan 2024, keuntungan operasi Nissan merosot 90.2 peratus, daripada RM10.1 bilion kepada RM0.99 bilion, dengan margin keuntungan operasi hanya 0.5 peratus.

Keuntungan bersih juga jatuh 93.5 peratus, daripada RM8.9 bilion kepada RM0.57 bilion.

Sebaliknya, Honda dijangka mencatat keuntungan operasi sekitar RM40.5 bilion pada tahun kewangan 2024.

Nissan pula mengunjurkan keuntungan setahun penuh sebanyak RM6.75 bilion, penurunan 74 peratus berbanding tahun kewangan 2023.

Untuk mencapai sasaran ini, Nissan perlu menjual sekurang-kurangnya 3.5 juta unit kenderaan setiap tahun, namun unjuran jualan untuk tahun ini hanya 3.4 juta unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Toshihiro Mibe, menegaskan bahawa penggabungan hanya akan direalisasikan jika kedua-dua syarikat mampu berdiri sendiri secara kukuh.

Dengan keadaan kewangan semasa, Nissan perlu berusaha keras untuk memenuhi syarat penggabungan ini.

Google ads
Back to top button