" "
Artikel Pilihan

KORBANKAN TESLA UNTUK SELAMATKAN PORSCHE DARI KEBAKARAN L.A. – PILIHAN YANG TEPAT

Beratus penduduk kehilangan tempat tinggal dan barang-barang berharga mereka dalam kebakaran besar di Los Angeles, Amerika Syarikat. Setakat ini 25 orang dilaporkan terkorban dan angka tersebut mungkin meningkat. Seorang lelaki bagaimana pun tidak sanggup meninggalkan Porsche milik beliau dari dijilat api kebakaran.

Petikan video kamera litar tertutup menunjukkan seorang lelaki berusaha menyelamatkan Porsche 911 milik beliau dari kebakaran. Beliau dilihat mencabut kabel pengecas sebuah SUV Tesla dan mencampakkannya ke lantai garaj. Keadaan sekitar kediaman tersebut semakin berjerebu akibat kebakaran dan angin bertiup kencang.

Seorang lagi lelaki kemudian muncul dalam video dan dilihat mengalihkan kabel tersebut sebelum video tersebut teroutus seketika. SUV Tesla Model Y tersebut telah diketepikan dan baharulah kami tahu kenapa.

Rupa-rupanya Tesla tersebut dialihkan untuk memberi laluan kepada sebuah Porsche 911 generasi 992 keluar dari garaj. Kental sungguh hati pemilik yang sanggup mengorbankan sebuah EV untuk menyelamatkan sebuah kereta sport sebenar buatan Jerman.

Usaha tersebut boleh dikatakan berbaloi sebab ia merupakan sebuah 911 S/T. Hanya 1,963 unit model ini dikeluarkan oleh Porsche dan setiap satunya dibekalkan dengan enjin 4.0 liter GT3 RS yang mampu menghasilkan 518 hp kuasa maksima bila dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.

Rasanya Porsche sendiri pun terharu selepas menonton video ni. Kalau Tesla kami tak tahu la, tak rasa apa-apa kot sebab ia hanyalah seketul gajet yang boleh bergerak.

Google ads
Back to top button