Modifikasi

SEBUAH PERODUA KELISA … SEKETUL ENJIN YRV

Memang saya tidak nafikan bahawa kalau main kereta Kelisa dengan enjin Jepun, maka calon paling tepat pastinya enjin KE-VET. Dapat enjin K3-VE pun tak apa. Tak ada turbo. Dengan DVVT dan 1,300cc pun bukan main sedap lagi Kelisa ini dipandu setiap hari.

Tapi adakah enjin Kelisa ini lemau?

Sudah tentu tidak. Enjin EJ-DE 1000cc Kelisa jauh lagi sedap daripada pasangan enjin 4G13 pada sebuah Wira dengan bonet Evo, pastu kelam kabut nampak Fortuner warna oren. Kah kah kah.

Sampai sekarang saya masih ada hati nak beli semula Kelisa kalau ada duit. Paling tak banyak kerenah dan barang-barangnya juga semakin murah.

Kereta ini milik Ayie. Nampak dari luar, biasa sahaja. Macam Kelisa yang guna bodypart TR yang lain. Tapi apabila buka bonet depan, nah K3-VET. Saya pun baru  tahu yang harga enjin ini dah mula naik semula. Mungkin disebabkan Myvi terpakai dah makin murah. Kemudian Kenari dan Kelisa dah ramai yang mampu beli tunai.

Enjin ini boleh masuk terus dalam Kelisa, tak payah modifikasi langsung. Mounting hampir sama. Cuma apa yang orang khuatir biasanya ialah kotak gear semi auto yang kurang lasak kalau ada hasrat nak tambah kuasa enjin.

Enjin dibiarkan dalam keadaan stok. Apa yang ditukar ialah penapis udara K&N, paip stainless steel ke perumah turbo dan sistem ekzos baru dengan paip 2.3 inci saluran terus.

Kalau ada benda yang lemau untuk sebuah Kelisa keluaran kilang sudah tentu saya undi suspensinya. Memang tidak boleh blah bila top speed. Bergoyang sampai ke ketiak. Bergegar satu kereta.

Ini disebabkan setting lembut yang direka untuk pemanduan bandar. Sebab itu Ayie tidak yakin dan menukarnya kepada set suspensi jenis boleh laras HWL. Keras dan meyakinkan bila nak masuk selekoh. Dalam kelajuan tinggi pun, stereng kekal tegak.

Meningkatkan lagi pengendalian ialah set brek YRV di depan dan brek cakera L500 di belakang. Mengakhiri bahagian ini ialah set rim Enkei RPF1 15 inci yang disarungkan dengan tayar Archilles K-Sport 165/50r15.

Bahagian dalaman macam tak terkesan dengan enjin YRV yang dipasang. Kecuali kalau perati betul-betul konsol gearnya dah tak ada di lantai. Knob gear dipasang di bahagian kolum mengikut spesifikasi YRV. Didatangkan bersama ialah meter YRV,  stereng dan set karpet yang menutup terus bekas gear di tengah.

Kerusi asal ditanggalkan dan digantikan dengan Recaro. Kalau buat railing yang betul maka akan dapat posisi duduk yang sedap. Kalau buat cincai, duduk atas kerusi 3V lagi sedap. Kerusi belakang ditukar Coure TR. Akhir sekali, pemain audio CD Kenwood.

Untuk kosmetik, saya pilih bodypart TR. Bukan tidak boleh Gino, tapi cabarannya amat berat untuk ditempuh bila berjumpa dengan Fortuner warna oren.

Pada hal, bahaya apa lah sangat setakat tukar bodypart yang pasang balik skru lama kan? Bersepah lori yang tak ikut spec. Itu belum campur yang jual rebuilt badan lori atau bas. Lagi lah bahaya.

Ini lah yang orang cakap, gajah depan mata tak nampak, antena twinblade di Fukushima boleh pula teropong.

Akhir kata, majulah YRV untuk K-Car!

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button