Buletin

SEDC ENERGY BUKA STESEN PELBAGAI BAHAN API KEDUA DI SARAWAK

Masalah kesukaran untuk mendapatkan bahan api di daerah Daro di sini telah berjaya diselesaikan dengan pelancaran stesen mengisi minyak pelbagai bahan api oleh SEDC Energy Sdn Bhd (SEDC Energy).

Stesen itu yang dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini merupakan stesen mengisi minyak pelbagai bahan api kedua SEDC Energy selepas pembukaan stesen utamanya di Darul Hana di Kuching tahun lepas.

Stesen di Daro itu adalah stesen pelbagai bahan api Dealer Owned, Dealer Operated (DODO) (stesen dimiliki dan diusahakan peniaga) yang pertama seumpamanya di landskap bandar Sarawak, kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut SEDC Energy, stesen itu juga merupakan langkah pertamanya untuk mengembangkan rangkaian menerusi pengambilan peniaga yang berminat mengusahakan stesen mengisi minyak pelbagai bahan api DODO di seluruh Sarawak, termasuk di kawasan luar bandar.

“Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk meningkatkan taraf hidup dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Pada masa depan, syarikat itu merancang untuk membuka lebih banyak stesen mengisi minyak pelbagai bahan api di seluruh Sarawak, menawarkan bukan hanya bahan api fosil konvensional tetapi juga kemudahan mengecas kenderaan elektrik (EV) sebagai sebahagian daripada tumpuannya kepada kelestarian alam sekitar dan pengangkutan.

“Stesen pelbagai bahan api yang dibuka di sepanjang lebuh raya Pan Borneo dan kawasan strategik akan dilengkapi dengan dispenser mengisi bahan api hidrogen bagi menampung keperluan kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV), selain daripada bahan api konvensional dan pengecas EV,” katanya.

SEDC Energy ialah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak. – BERNAMA

Google ads
Back to top button