Buletin

LELAKI ENGGAN BERHENTI UNTUK DIPERIKSA DI FELDA WAHA DIBURU POLIS

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang enggan memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan kerana memandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Lok Heng-Mawai di sini, Khamis lepas. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata ketika kejadian pada kira-kira pukul 1 tengah hari itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kota Tinggi sedang menjalankan rondaan.

Beliau berkata lelaki tempatan berusia 27 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna, Toyota Wish berwarna putih itu gagal mematuhi arahan untuk menghentikan keretanya, sebelum memecut laju ke kawasan kebun kelapa sawit di Felda Waha.

“Bagaimanapun, pemilik berdaftar kenderaan tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bagi membantu siasatan. 

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit merupakan adik kepada pemilik berdaftar kenderaan tersebut dan usaha mengesannya masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi bilik gerakan IPD Kota Tinggi di talian 07-8837222 bagi membantu siasatan kes. 

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 50 saat di aplikasi TikTok memaparkan Toyota Wish berwarna putih dan bernombor pendaftaran JEX31 dikejar sebuah kereta peronda polis, yang dirakamkan pelbagai sudut oleh penduduk Felda Waha. – BERNAMA 

Google ads
Back to top button