Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG TRANSMISI CVT HYUNDAI/KIA, INTELLIGENT VARIABLE TRANSMISSION.

Tahun lepas, Kia memperkenalkan Kia Cerato Generasi ke empat dengan kod BD yang datang dengan 3 pilihan enjin iaitu SmartStream 1.6, 1.6 Gamma Turbo dan 2.0 MPI. Pada masa yang sama Kia juga menawarkan 3 jenis transmisi pada model terbaru ini iaitu 6 kelajuan automatik, 7 kelajuan DCT dan juga Intelligent Variable Transmission.

Disebabkan tak banyak maklumat yang diperolehi berkenaan dengan transmisi Intelligent Variable Transmission ini, maka kami menyangka ia hanyalah sebuah lagi sistem tranmisi CVT biasa yang dipadankan. Sehinggalah pada awal minggu ini Hyundai mendedahkan mereka sedia untuk menyerang sedan segmen C dengan model Hyundai Elantra generasi baru yang datang dengan transmisi IVT.

Rajah satu – struktur CVT belt yang biasa digunakan

Hyundai membangunkan transmisi IVT ini menggunakan kepakaran mereka sendiri (bukan minta pembekal buat) menerusi subsidiari mereka yang dikenali Hyundai Transys iaitu entiti yang membangunkan khas teknologi enjin dan transmisi untuk kumpulan Hyundai – Kia.

Namun sebelum membangunkan teknologi ini, jurutera mengkaji kelemahan sistem CVT yang dipasang pada model pesaing mereka terlebih dahulu. Antara kelemahan yang dijumpai oleh jurutera Hyundai Transys ialah respon pecutan yang lambat, bunyi yang dihasilkan oleh sistem CVT, dan masalah gelinciran antara belt dengan pulley.

Bagi menyelesaikan masalah di atas, jurutera Hyundai telah menggantikan CVT belt yang dibina daripada kepingan besi dan digabungkan di atas satu gelung besi (rujuk gambar di atas) dengan kaedah timing chain (struktur asas rantai CVT yang disambungkan dengan pin pengunci). Kaedah sambungan ini sama seperti yang digunakan dalam unit rantai pemasaan enjin. Teknologi ini merupakan kali pertama yang digunakan di dunia.

Penggunaan rantai CVT ini berjaya meningkatkan respon pecutan sebanyak 5% pada gear ratio rendah dan juga tinggi. Jarak kedudukan antara 2 pin pengunci dikurangkan sebanyak 15% bagi mengurangkan bunyi (CVT noise) yang terhasil semasa transmisi beroperasi. Malah struktur utama transmisi juga dibalut dengan bahan penebat bunyi bagi mengurangkan lagi bunyi sebanyak 5dB

Operasi takal CVT (CVT pulley) yang boleh berubah diameter dibantu oleh pam minyak hidraulik dari jenis vane type telah ditambah baik dengan mengurangkan tork yang diterima. Kaedah ini berjaya meningkatkan kecekapan pam sebanyak 9%.

Dalam unit torque converter, jurutera telah memasang 2 spring yang berasingan bagi 2 unit klac. Ia memberikan kelebihan kerana kaedah ini berjaya mengurangkan geseran dalam torque converter sebanyak 51%

Hasilnya transmisi IVT ini berupaya untuk mengatasi transmisi automatik 6 kelajuan dari segi ecutan pada gear rendah dan memberikan penggunaan petrol yang lebih baik pada ratio gear yang tinggi. Malah mereka mendakwa transmisi ini adalah setara dengan transmisi 8 kelajuan automatik.

Bagi pemanduan yang sporti, IVT boleh diprogramkan untuk menghasilkan 8 gear maya yang boleh dikawal dengan menggunakan penukar gear. Secara keseluruhan transmisi IVT memberikan penjimatan bahan api sebanyak 4% dan kecekepan operasi sebanyak 8%

Google ads
Back to top button