Buletin

SELAIN TAMPIL SPORTY, SMART #1 BRABUS TAWAR APA JE? BAIK BELI….

Smart #1 versi Brabus secara rasmi diperkenalkan untuk pasaran tempatan dan dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM200,000 hingga RM250,000.

Dari segi dimensi, Smart #1 versi Brabus mempunyai ukuran sepanjang 4,270 mm, 1,822mm (lebar), 1,636mm (tinggi) sementara jarak roda diletakkan 2,750mm.

Meskipun dimensi bagi smart #1 Pro, Premium dan Brabus adalah sama tetapi versi Brabus menjadi lebih berat, iaitu 1,900kg kerana terdapat tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan.

Sebagai perbandingan, smart #1 Pro serta Premium masing-masing mempunyai berat 1,780kg dan 1,800kg.

Untuk rekod, smart #1 didatangkan dengan pilihan warna Atom Grey Matte, Meta Black, Cyber Silver (bumbung Radiant Red) atau Digital White, Laser Red, Cyber Silver (bumbung hitam) serta Atom Grey Matte (bumbung warna badan).

Dari segi penampilan, model ini diserlahkan menerusi jeriji hadapan bercahaya, lampu depan Cybersparks Matrix LED, DRL LED bersepadu, serta logo sisi bercahaya.

Perincian luaran lain termasuklah isyarat membelok berurutan, bumbung halo panoramik, rel bumbung dan pemegang pintu elektrik bercahaya.

Bukan itu sahaja, pintu tanpa bingkai smart #1 bukan sahaja meningkatkan rupa smart tetapi juga berfungsi meminimakan bunyi serta seretan aerodinamik.

Selain itu, smart #1 turut dilengkapi dengan teknologi terkini CyberSparksLED+ Adaptive Matrix Headlights, teknologi penyesuaian pencahayaan dengan jalan di hadapan bagi memastikan penglihatan optimum.

Menjengah ke dalam kabin, smart #1 Brabus tampil dengan rekaan minimalis serta elegan atau disingkatkan, sememangnya menawarkan ciri premium.

Ia dimuatkan bersama skrin infotainment 12.8-inci dengan piksel 1920 x 1080, set audio premium yang terdiri daripada modul amplifier dan 13 pembesar suara dari Beats termasuk subwoofer.

Menariknya, sistem bunyi ini juga mengeluarkan bunyi enjin palsu, didakwa diinspirasikan dari bunyi enjin V6.

Perincian lain termasuklah kluster digital definisi tinggi (HD) penuh bersaiz 9.2-inci dan Paparan Atas (HUD) 10-inci.

Apa yang boleh kita lihat, ia turut dilengkapi roda stereng dengan upholsteri gabungan jenis kulit dan Alcantara, tempat duduk larasan kuasa 10-hala bersama fungsi memori serta set pedal aloi.

Selain itu, model ini dikemaskan lagi dengan upholsteri Ultra Sued, kemasan jahitan benang merah manakala perehat kepala hadapan diserlahkan dengan logo Brabus.

Seperti dinyatakan dalam artikel sebelumnya, smart #1 Brabus dijana oleh motor elektrik berkembar, menghasilkan 422hp, tork 543Nm dan menawarkan jarak gerak 535km.

Tempoh pengecasan 10 peratus hingga 80 peratus hanya menelan masa kurang daripada 30 minit menerusi pengecasan pantas DC 150kW.

Selain tampil canggih dan sporty, model smart #1 versi Brabus juga mahu mentakrifkan semula pengalaman pemanduan sekali gus menaikkan standard kenderaan elektrik di pasaran Malaysia.

Berdasarkan platform “Sustainable Experience Architecture” (SEA), ia menawarkan pelbagai kelebihan antaranya seperti kecekapan kos, reka bentuk boleh disesuaikan, dan prestasi yang dipertingkatkan.

Tambahan, ia juga direka untuk penggunaan ruang yang optimum, reka bentuk fleksibel dan pada masa yang sama, memberi jaminan keselamatan kepada pelanggan.

Untuk rekod, platform modular khusus EV ini turut mendapat penarafan keselamatan 5 bintang.

Untuk keselamatan, Smart #1 Brabus dimuatkan bersama tujuh beg udara serta dilengkapi pakej ADAS seperti berikut:

  • Kawalan jelajah adaptif dengan fungsi Henti & Mula.
  • Sistem pengekalan laluan aktif.
  • Bantuan titik buta.
  • Bantuan lebuh raya dan kesesakan jalan raya.
  • Bantuan parkir automatik.
  • Bantuan lampu puncak adaptif.

Untuk harga pula, ia dijangka diberi tanda harga sekitar RM200,000 hingga RM250,000.

GALERI:

Google ads
Back to top button