Buletin

EV TOYOTA GUNA BATERI LG ENERGY, 2 SYARIKAT BEKERJASAMA UNTUK EV DI AS!

LG Energy Solution dan Toyota Motor North America, Inc. memeterai perjanjian pembekalan modul bateri litium-ion yang akan digunakan di dalam kenderaan elektrik bateri (BEV) yang dipasang di Amerika Syarikat.

Di bawah kontrak itu, LG Energy Solution akan membekalkan modul bateri dengan kapasiti tahunan 20 gigawatt jam (GWj) bermula 2025.

Modul bateri itu yang terdiri daripada nikel tinggi NCMA (nikel, kobalt, mangan, aluminium) dalam sel jenis kantung akan dikeluarkan di kilang LG Energy Solution di Michigan.

Kerjasama kedua-dua jenama sebegini bukan baharu dan LG Energy Solution bukan calang-calang.

Syarikat merupakan peneraju dunia di dalam pembuatan bateri litium-ion untuk EV, kenderaan, teknologi maklumat dan sistem simpanan tenaga.

LG Energy Solution memegang 25,000 paten berkaitan bateri dan tertinggi di dunia.

Syarikat mempunyai kemudahan pengeluaran bateri yang ditubuhkan melalui kerjasama dengan General Motors, Stellantis N.V., Hyundai Motor Group dan Honda Motor Co. Ltd.

Pembekalan ini akan membantu Toyota dalam mengembangkan penawaran BEV termasuk model baharu yang bakal dipasang di Toyota Motor Manufacturing Kentucky pada 2025.

Sebagai komitmen perjanjian, LG Energy Solution akan melabur 4 trilion won (RM14 bilion) di kilang Michigan bagi membina barisan pengeluaran baharu sel dan modul bateri khusus untuk Toyota.

Pada peringkat permulaan, modul bateri akan dihantar ke Toyota Motor Manufacturing Kentucky untuk dipasang sebagai pek bateri dan dilengkapi pada BEV.

Kerjasama ini turut membawa kepakaran masing-masing dalam teknologi EV. Perjanjian bersejarah ini juga merupakan perjanjian pembekalan tunggal terbesar yang dimeterai di luar perjanjian kerjasama.

LG Energy Solution sekarang ini membekalkan bateri kepada lima pengeluar ternama dunia. Syarikat memiliki lapan kemudahan pengeluaran bateri termasuk dalam proses pembinaan di Amerika Utara.

Google ads
Back to top button