Buletin

SELAMAT TINGGAL ASIMO – PENGORBANANMU TIDAK AKAN DISIA-SIAKAN

Honda mengumumkan bahawa ia akan menamatkan pembangunan robotnya, Asimo.

Namun, pengeluar kenderaan berpengaruh dari Jepun tersebut menegaskan ‘bakat’ Asimo tidak akan dibazirkan begitu sahaja.

Sebaliknya kebanyakan teknologi akan disepadukan ke dalam teknologi lain seperti bantuan mobiliti untuk pesakit, kenderaan berautonomi dan motosikal yang mampu mengimbangi dirinya sendiri.

Asimo yang bermaksud Advanced Step in Innovative Mobility mula dilakar pada pertengahan tahun 1980.

Versi penuhnya direalisasikan pada tahun 2000. Ia nyata berjaya mengagumkan orang ramai atas keupayaannya berjalan serta menaiki tangga secara sendiri. Honda mengakui proses membangunkan Asimo sememangnya sukar. 

Bagi mereka yang pernah pergi ke pameran Tokyo Motor Show, anda mungkin berkesempatan melihat Asimo beraksi di sana.

Sebenarnya, Asimo tidak lagi dikemas kini sejak tahun 2011. Dengan ketiadaan kegunaan komersial untuk dimanfaatkan, dana projek Asimo semakin kering.

Robot yang seberat 54kg dan setinggi empat kaki 3 inci itu memiliki pelbagai kebolehan. Pada peringkat awalnya, Asimo mampu berlari selaju 9km/j dan melompat dengan baik. Jauh lebih maju berbanding kebanyakan humanoid yang ada sekarang.

Bukan itu sahaja, pelbagai alat pengesan yang dipasang membolehkan Asimo mengenal pasti wajah, postur, pergerakan dan percakapan manusia. Sekali gus membenarkan Asimo berinteraksi dengan manusia dan mendengar arahan.

Malah Asimo berupaya mengenal pasti beberapa suara dalam masa yang sama dan memberi maklum balas daripada arahan berbeza. Ia juga boleh memegang dan mengalihkan objek seperti tangan manusia.

Biarpun pembangunan Asimo akan dihentikan sepenuhnya, sejumlah juruteranya dilapor menyertai projek-projek lain yang menggunakan teknologi robot.

Sementara tu, layan dulu video Asimo menarik di bawah ini:

Google ads
Back to top button