
SEMA 2020 AKAN BERLANGSUNG SEPERTI DIJADUALKAN
Wabak pandemic Covid-19 memang telah menjejaskan banyak industri dunia dan tidak terkecuali dunia automotif. Hampir kesemua pameran kereta motor utama di seluruh dunia dibatalkan dan ada yang masih dibatalkan sehingga ke tahun hadapan. Specialty Equipment Market Association ataupun lebih dikenali sebagai SEMA bagaimanapun masih akan dilangsungkan mengikut jadual asal November ini.

Kalau tahun lepas ramai pengunjung yang berangan nak tengok Supra baru yang sudah ubahsuai pada tahun ini tapi kini rasanya ramai yang tak kisah kereta apa yang dipertunjukkan asalkan pameran ini tidak dibatalkan ataupun ditunda ke tarikh baharu.
SEMA berjanji untuk meneruskan dengan jadual asal tetapi menambah peraturan dan syarat untuk memastikan keselamatan vendor dan pengunjung dari jangkitan Covid-19.

Sama seperti acara lain, ini bermakna pelindung muka dan topeng merupakan keperluan wajib selain penjarakan sosial yang wajib dipatuhi sewaktu pameran berlangsung. Suhu akan diambil menggunakan kamera khas (lagi cepat dari menggunakan termometer tangan tembak atas dahi), laluan sehala dan sanitizer di setiap 200 kaki jarak.
Kawasan tumpuan ramai pengunjung akan disanitasi sejam sekali manakala keseluruhan ruang pameran akan disanitasi setiap malam sepanjang acara berlangsung.
SEMA juga bekerjasama dengan Las Vegas Convention Center untuk menjadikan fasiliti mereka menjadi yang pertama dalam negara menerima pengiktirafan khususnya dalam aplikasi langkah keselamatan dalam menangani penyakit berjangkit.


Buat masa sekarang semua langkah yang diambil kelihatan cukup teratur dan pengunjung akan dapat menyaksikan pelbagai model baharu dipamerkan antaranya ialah Ford Bronco dan Mustang Mach-E.
Inilah tempat di mana kita dapat saksikan kereta-kereta model baharu diubahsuai secara ekstrim dan hampir tak masuk akal. Harap-harap wabak pandemik ini akan terus terkawal dan keadaan akan kembali seperti sedia kala. Kami pun dah lama tak pergi auto show ni.
Kredit Carbuzz.com