Artikel Pilihan

4 MODIFIKASI WAJIB UNTUK PRESTASI SEBELUM MELANGKAH LEBIH JAUH – INGATLAH 4 PERKARA INI

Kaki kereta sejati biasanya akan membeli kereta tak kira sama ada baharu ataupun terpakai dan kemudian mengubahsuainya supaya menjadi sebuah kereta sport sebenar. Masalah muncul bila ramai yang mendapat maklumat yang salah dari internet kemudian terhasillah sebuah kereta convert yang kelihatan seperti tenuk memakai mekap dengan handling ke laut dalam. Kereta tak selaju mana, prestasi macam hampas kelapa dan bunyi ekzosnya mengalahkan biawak bunting tertelan ikan buntal.

Kali ini kita cerita tentang 4 modifikasi wajib yang mesti didahulukan untuk menaikkan prestasi. Bahagian mekap ni kita biar dulu. Itu untuk budak-budak baru nak belajar pakai kereta. Ini lebih kepada untuk kelajuan, penambah baikan dan keselamatan.

  1. Tayar – Sesungguhnya cengkaman tayar adalah sangat penting sebelum peningkatan prestasi

Tayar yang dibekalkan dari kilang biasanya adalah untuk ekonomi dan keselesaan bagi kegunaan setiap hari. Anda tidak boleh menggunakannya untuk berlumba ataupun memandu secara agresif. Silap-silap ke longkang bang. Ini bukan bermaksud kami menggalakkan anda memandu secara mengkhinzir buta tetapi lebih kepada pemilihan tayar yang sesuai dengan gaya pemanduan anda.

Tayar yang sesuai akan membolehkan kuasa disalurkan ke permukaan jalan dengan lebih baik. Kuasa yang besar tanpa tayar yang sesuai tidak akan membawa anda ke mana-mana. Nak buat isyarat asap ala Red Indian boleh la. Jadi cari tayar yang sesuai dengan pemanduan dan bajet anda. Tak payah lah beli tayar untuk perlumbaan drag nanti makan nasi lauk bawang pulak hari-hari.

Ingat tayar pilihan pelumba drag tak akan sama dengan pelumba drift dan semestinya tak sama dengan tayar kaki off-road. Jadi pilih tayar yang terbaik tetapi masih dalam bajet anda. Kami sendiri biasanya akan memilih tayar yang berjenama dan sudah terbukti prestasinya. Ingat nak pandu laju, cengkaman tu penting. Tanpa cengkaman baik beli insuran nyawa siap-siap.

  • ECU – Talaan yang betul akan membebaskan lebih banyak kuasa

Satu ketika dahulu modifikasi sistem intake dan ekzos mungkin memadai untuk menaikkan kuasa tapi tidak lagi untuk kereta-kereta moden. Para jurutera telah membuat tetapan pada ECU khususnya pada tahap oktana, kepekatan oksigen dan sebagainya. Sebagai contoh jika anda memandu di tanah tinggi dan oksigen agak berkurangan, ECU akan membuat pelarasan secara automatic supaya pemasaan enjin anda akan berada pada tahap yang sesuai.

Tetapan ECU secara automatik ini sebenarnya akan membuatkan modifikasi tradisional menjadi sia-sia. Contohnya jika anda cuba menambahbaik aliran dengan sistem ekzos aftermarket, ECU akan campurtangan dan memaksa kereta anda menghasilkan kuasa yang sama seperti sebelumnya. Itulah sebabnya selepas modifikasi pun kereta anda masih terasa sama.

Jadi kalau nak kuasa lebih, laburkan sedikit wang untuk mapping baharu untuk ECU kereta anda. Dengan kepakaran dan peralatan yang sesuai, mekanik ataupun tuner yang mahir mampu mengubah sistem kemasukan udara, ekzos, intercooler dan lain-lain. Ingat ini zaman moden tahu, semua nak kena cucuk komputer.

  • Brek – brek yang baik akan membolehkan anda memandu dengan lebih laju di litar

Mesti ada yang terfikir, nak pandu laju kenapa perlu naiktaraf brek? Okey macam ni, kalau anda memandu ataupun berlumba di litar, brek yang baik akan membolehkan anda memperlahankan kereta dengan lebih lambat sewaktu memasuki selekoh. Brek yang lemah akan menyebabkan anda menekan brek lebih sekaligus membuatkan anda kehilangan momentum.

Sebenarnya naik taraf brek adalah sangat penting sebelum anda menaikataraf kuasa kereta anda. Bayangkan kereta dan laju dan berkuasa tapi brek masih lagi menggunakan cakera dan pad asal dari kilang. Silap-siap berasap ooo masa tengah berlumba (atas litar ye bukan atas lebuh raya).

Bukan senang tahu naik taraf brek ni sebenarnya. Bukan setakat tukar pad je. Rotor pun kena jenis terbaik dan mempunyai liang udara untuk sejukan yang lebih baik. Adalah sebabnya kenapa jentera perlumbaan menggunakan sistem brek yang mahal dan tahan panas untuk jangka masa yang lama.

  • Suspensi – mengurangkan ayunan badan dan menambah baik kawalan

Naik taraf suspensi merupakan antara modifikasi yang paling kompleks. Ia perlu dilakukan selaras dengan peningkatan kuasa dan seterusnya membolehkan anda memandu dengan lebih selamat. Bayangkan kuasa kereta dan bertambah dari 100 ke 250 hp tapi masih dengan suspensi keluaran kilang. Naya bang.

Jangan ingat asal kereta sport je kena naik taraf kepada sistem suspensi terkeras di atas muka bumi sampai dah balik rumah pun bontot masih bergegar. Ingat tugas sebenar suspesi ialah untuk memastikan keempta-empat tayar bersentuh dengan permukaan jalan. Sedikit fleksibiliti akan membolehkan berat diagihkan ke mana-mana sudut tanpa menghilangkan cengkaman pada mana-mana roda.

Kalau semua suspensi keras kejung nak buat apa. Seksa diri bang oi. Dapatkan nasihat pakar dan kalau nak berlumba dapatkan nasihat dari mekanik yang pernah terlibat dalam dunia perlumbaan. Jangan cari mekanik yang kuat bersembang tapi kereta sendiri pun macam motobot.

Mekanik yang mahir akan memberikan imbangan yang sesuai untuk kawalan tanpa menjejaskan cengkaman kereta anda.

Google ads
Back to top button