Buletin

SEMUA PEMBIDA MASIH BERSAING, PENILAIAN FSP DITERUSKAN – DRB HICOM

DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa pencarian rakan strategik asing (FSP) bagi PROTON Holdings Bhd (Proton) masih lagi diteruskan.

“Seperti yang diumumkan pada bulan Februari lalu, kami mensasar untuk menamatkan proses penilaian menjelang tamatnya suku ke-2 tahun 2017.

“Kami juga ingin mengesahkan semua pembida masih dalam saingan untuk menjadi FSP Proton. Kami telah mengumumkan dahulu bahawa proses mencari FSP adalah rumit. Jadi, DRB-HICOM mahu memastikan FSP yang dipilih akan menguntungkan semua pihak,” jelas DRB-HICOM.

Setiap rundingan adalah usaha kedua-dua pihak untuk memastikan sinergi dengan pelan masing-masing. Sudah menjadi proses biasa dalam mana-mana rundingan perniagaan di mana kedua-dua belah pihak membuat cadangan-cadangan yang berasingan dan berbeza, bergantung kepada apa yang diminta serta dicadangkan oleh pihak kedua.

DRB-HICOM akan meneruskan proses penilaian  ini dan membawa masuk FSP yang akan memperbaiki kedudukan Proton. Pada masa yang sama mendapat manfaat daripada keupayaan dan kebolehan Proton. Proton akan membuat pengumuman berkaitan selepas proses itu tamat kelak.

Kenyataan ini dibuat selepas timbul beberapa laporan yang menyatakan salah satu pembida utama Proton iaitu Zhejiang Geely (Geely) dari China sudah menarik diri daripada bidaannya untuk menjadi FSP Proton.

Menurut laporan akhbar South China Morning Post, tindakan Geely menarik diri adalah kerana sikap Proton yang didakwa tidak mempunyai pendirian tetap. Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Presiden Geely, An Conghui.

Selain Geely, satu lagi pengeluar kenderaan yang sangat berminat untuk membeli saham Proton ialah Groupe PSA dari Perancis. Groupe PSA yang baru-baru ini membeli pembuat kereta Opel dan Vauxhall itu mengesahkan ia masih berminat untuk menjalin kerjasama dengan Proton.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button