Motosikal

TUNEBOSS ECU GEN2 DILANCARKAN. LEBIH POWER DAN MAMPU MILIK. BERMULA RM299 SAHAJA

Pelanggan kini boleh memiliki TuneBoss ECU (Engine Control Unit – Unit Kawalan Enjin) yang lebih berkuasa tetapi pada harga lebih mampu milik menerusi pelancaran generasi terbaru ECU tersebut oleh pengeluarnya, FSR Technology.

ECU generasi baru (Gen2) menggantikan ECU TuneBoss generasi pertama (Gen1) yang dilancarkan pada tahun 2014. Ia hadir dengan tiga tahap (Stage) kebolehan pada tangga harga yang berbeza. Dengan penukaran itu, harga permulaan baru untuk TuneBoss ECU adalah sekitar RM200 lebih rendah berbanding sebelum ini. 

TuneBoss ECU Gen1 boleh didapati untuk sembilan model motosikal popular terutamanya dari Yamaha dan Honda. Harga terendah bermula pada RM499 untuk model seperti Yamaha Lagenda atau Honda Wave, hingga yang paling mahal (RM999) untuk Yamaha R25.

Sedangkan harga baharu ECU Gen2 pula bermula hanya RM299 untuk model Lagenda dan Wave, manakala model Yamaha R25 pula berharga RM799.

“Untuk TuneBoss Gen1, kami mahu mengeluarkan produk yang mampu mengubah pasaran dengan inovasi. Oleh itu, kami mencipta ECU motosikal pertama di dunia yang siap sedia datang dengan sistem wayarles Bluetooth yang boleh diakses menggunakan telefon pintar. 

“Fokus untuk Gen2 adalah untuk menjadikan teknologi ini lebih mudah diakses. Selain menawarkan prestasi lebih tinggi kepada pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FSR Technology, Farhan Ali.

Farhan memberitahu bahawa peningkatan tahap prestasi ECU boleh di “unlock” secara elektronik oleh pengedar sah TuneBoss dan setiap ECU TuneBoss yang dijual datang dalam Stage 1. 

Stage 1 sudah cukup memadai untuk pengguna yang mahukan sedikit oooomph dari jentera mereka yang mungkin telah dilengkapi dengan modifikasi ringan.  

Tetapi untuk pengguna jentera dengan tahap dimodifikasi yang tinggi, mereka boleh menaik taraf ECU Gen2 ke Stage 2 yang memberikan keupayaan seperti pengawalan penuh pada sistem pancutan bahan api, sistem nyalaan dan sistem Variable Valve Actuation (VVA) dengan hanya menambah RM200 kepada harga asal ECU Stage 1.

Pengguna yang menaik taraf ke Stage 2 dalam tempoh satu tahun dari tarikh pembelian juga mendapat tambahan tempoh waranti yang menjadi dua tahun, berbanding dengan waranti setahun untuk ECU Stage 1. 

Walaupun ciri-ciri Stage 2 pada ECU Gen2 telah sedia ada pada ECU TuneBoss Gen1, ECU Gen2 ada menawarkan ciri-ciri baru pada Stage 3. Antaranya ialah sistem kawalan pancitan bahan api tambahan (dual injector), sistem talaan sudut pancitan bahan api dan sistem kawalan pam penyejuk jenis elektrik (PWM).

Semua ciri itu merupakan hasil kerjasama dengan beberapa pasukan perlumbaan selama beberapa tahun. Tahap 3 boleh dibuka dengan tambahan RM250 kepada kos ECU Stage 1 dan 2. 

Seiring dengan pelancaran ECU Gen2, TuneBoss turut melancarkan dua lagi model ECU untuk model Yamaha Y16ZR dan MT15 harga bermula RM399. 

“Ada lagi kejutan lain dari kami tak lama lagi, jadi tungguuuuu!!!” kata Ketua Pegawai Operasi FSR Technology, Suffian Zamali.

Google ads
Back to top button