Buletin

SISMA AUTO BUKA PUSAT PAMERAN VOLVO DI BUKIT BINTANG

SISMA Auto, pengedar berdaftar baharu Volvo Car Malaysia telah membuka bilik pamerannya di Menara Worldwide, Jalan Bukit Bintang secara rasmi.

Bilik pameran itu tampil dengan elemen reka bentuk Scandinavia yang juga dikenali sebagai Volvo Retail Experience (VRE).

“Kami bangga kerana dapat menyertai rangkaian Volvo, satu jenama yang kian meningkat naik selepas melancarkan barisan model baru seperti XC90 dan S90 T8 Twin Engine,” kata Pengarah Urusan SISMA Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim. 

Pemilik Volvo yang tinggal atau bekerja di kawasan sekitar bilik pameran turut dapat menikmati pengalaman pemilikan premium yang menjadi lambang SISMA Auto. Melalui perkhidmatan Concierge SISMA Auto, ia menawarkan pengambilan dan penghantaran kenderaan dari rumah atau pejabat.

Sempena pembukaan bilik pameran itu, SISMA Auto menawarkan peluang untuk memenangi lawatan ke Sweden yang ditaja sepenuhnya kepada pelanggan yang membeli mana-mana model baru Volvo dari syarikat tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, Syed Khalil menyatakan bahawa pihaknya masih komited untuk membangunkan jenama Jaguar Land Rover di Malaysia dalam jangka masa panjang.

Google ads
Back to top button