Motosikal

HONDA ACE 110 – JELMAAN BARU HONDA CB 100 KHUSUS UNTUK BENUA AFRIKA

Asyik layan motor-motor moden dan laju apa kata sesekali kita layan motor yang memang motor semata-mata. Bukan untuk berlumba dan bukan untuk masuk kelab sambil bincang pasal blok, ekzos, coverset dan lain-lain. Ini motor khusus untuk benua Afrika dan kegunaannya memang cukup penting untuk bergerak dan membawa penumpang dan barang-barang. Engkau bawak RS150 kat sini memang salah tempat la, skuter automatik lagi la kena gelak silap-silap mati terus kena sergah dengan singa. Kalau nak pakai motor kat sini pastikan anda menggunakan Honda Ace 110 ataupun yang setara dengannya.

Bagi peminat motosikal macam kita semua, Afrika tentu sekali bukanlah tempat yang kita bayangkan untuk mengembangkan hobi kita kecuali jika korang berminat dengan perlumbaan Dakar. Motosikal yang dipasarkan di sana diiklankan bukan berdasarkan kelajuan memecut, kehebatan mengambil selekoh ataupun ciri-ciri eksotik lain. Apa yang penting ialah kemampuan membawa penumpang dan muatan.

Honda Ace 110 ini baru sahaja dipasarkan di Nigeria dan ianya merupakan model bestseller seperti Honda EX5 di Malaysia ataupun Honda BeAt di Indonesia. Bayangkan betapa larisnya motosikal ini di negara yang mempunyai 186 juta penduduk itu.

Lupakan segala ciri canggih kerana itu semua tidak penting di sana. Fork terbalik? Apa tu? Memang mereka tak peduli langsung. Bahkan ia turut dilengkapi dengan brek gelendong di depan dan belakang. Paling penting ialah ia dilengkapi dengan tangki minyak yang besar kerana jarak antara stesen minyak memang berpeluh sampai ketiak la jawabnya.

Tayarnya juga dipastikan mempunyai bunga setebal mungkin untuk kegunaan jangka panjang. Tayar sotong yang biasa korang guna dengan orimotor suatu ketika dulu memang kelakar la kat sana.

BACA: EICMA 2017: HONDA CB4 INTERCEPTOR CONCEPT – HASIL KERJA PASUKAN R&D HONDA ROME

Motosikal yang dikeluarkan oleh Honda Manufacturing Nigeria Ltd. ini memang tidak mempunyai sistem penghidup elektrik, meter kelajuan digital dan pelbagai alat elektronik lain. Kick starter lebih berguna tambahan pula jika bateri dah hampir kong.

Jika di negara lain biasanya aksesori khusus untuk motosikal ialah seperti braket kotak barangan belakang, stiker acah-acah MotoGP limited edition dan lain-lain, Honda Ace 110 ini pula mempunyai aksesori tambahan berupa tambahan kerangka untuk disambung ke rak barang macam bai roti, ok tak?

Bagaimana dengan enjin? Jangan bimbang, kat sana mereka tak ada masa nak bergaduh pasal kebaikan enjin DOHC berbanding dengan enjin SOHC. Kotak gear 6-kelajuan atau 14-kelajuan memang mengarut bagi mereka. Sebab itulah Honda Ace ini dilengkapi dengan enjin 109 cc SOHC 2-injap yang cukup tahan lasak.

Karburatornya juga cukup kecil berbanding dengan motosikal lain. Adakah untuk mengekalkan gaya retro? Salah, ia sebenarnya untuk menjimatkan minyak ke tahap maksima.

Walaupun ia motor bergaya retro tapi jangan bimbang sebab harganya memang tak mencekik darah. Dengan harga NGN220,000 ataupun sekitar RM2500, harganya adalah jauh lebih murah berbanding Sym Bonus 110 SR. Amacam? Ada yang nak pindah kat sana tak?

Google ads
Back to top button