Buletin

SISTEM KAUNTER JPJ KUNO, MENYUSAHKAN RAKYAT – MENTERI

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyifatkan sistem perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia ada berusia lebih 10 tahun sebagai kuno dan perlu dimodenkan selari dengan era digitalisasi.

Ini bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisyen dan tidak menyusahkan rakyat.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya selepas membuat  lawatan mengejut ke JPJ Johor di Taman Daya Johor Bahru. Lawatan itu bagi mendapatkan maklum balas secara terus daripada orang ramai tentang perkhidmatan JPJ.

Ka Siong juga sempat menegur agensi kerajaan tersebut agar memantau kesesakan yang berlaku di ibu pejabatnya, khususnya pada hari Ahad.

“Secara terus terang, saya sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling bangunan JPJ Johor. Saya terus menyiasat punca yang menyebabkan queue yang panjang.

“Ada yang memberitahu saya bahawa LMM (Lesen Memandu Malaysia) tidak dapat diperbaharui di UTC (Pusat Transformasi Bandar) dan Pejabat Pos. Ada juga yang mempersoalkan sistem MySikap yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan,” tulisnya. 

Daripada empat mesin cetak LMM yang dibekalkan oleh pembekal perkhidmatan, Percetakan Keselamatan Nasional (PKN), hanya dua mesin sahaja yang berfungsi di JPJ Johor ini.

Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM. Jangan buang masa orang ramai beratur panjang dan berjemur di bawah matahari yang terik. Pihak PKN berjanji akan melakukan tindakan serta-merta.

Saya juga tegur warga JPJ Johor agar memantau rapi kesesakan di Bangunan JPJ khususnya pada hari Ahad dan segala kesulitan yang dihadapi bolehlah dilaporkan terus kepada saya. Saya beri terus nombor telefon bimbit saya kepada pegawai JPJ Johor. Saya pesan, JANGAN biarkan orang awam menunggu berjam-jam hanya kerana mahu mendapatkan cetakan LMM.

Pada waktu yang sama, saya juga mengarahkan Ibu Pejabat JPJ supaya serta-merta mengumpulkan maklumat dari semua cawangan JPJ, UTC dan Pejabat Pos tentang prestasi terkini pencetakan LMM dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menggunakan mesin cetak yang dibekalkan oleh PKN. 

Saya tidak mahu situasi yang sama di JPJ Johor berlaku di tempat lain yang akhirnya membazir masa rakyat. Rakyat tentu marah jika terpaksa lari ke sana ke sini untuk urusan LMM atau LKM yang sepatutnya diselesaikan dengan mudah dan cepat.

Dalam satu hantaran yang lain, Ka Siong menyatakan bahawa selepas arahan dan teguran diberi ketika lawatan mengejutnya ke pejabat JPJ Johor, pihak pembekal perkhidmatan cetakan LMM, PKN telah mengambil tindakan segera dengan menghantar pasukan teknikalnya membaik pulih serta menambah mesin cetakan LMM. – FB Wee Ka Siong 

GALERI

Google ads
Back to top button