Motosikal

APRILIA LANCAR SKUTER ADVENTURE SR GT 125 & 200. MAMPU GUGAT HONDA ADV?

Selepas Honda melancarkan X-ADV, diikuti oleh ADV150 dan terkini ADV350, banyak pengeluar motosikal mengambil langkah untuk memperkenalkan jentera seakan-akan sama. 

Persaingan itu secara langsung membuatkan segmen skuter adventure semakin meriah dan pilihan buat pengguna juga kian banyak. Terbaharu, Aprilia memperkenalkan skuter yang dikenali sebagai SR GT pada acara EICMA 2021. Untuk makluman, ia merupakan model terkini dalam keluarga skuter sporty SR. 

Berbeza dengan model SR Max yang pernah dilancarkan di Malaysia dahulu dengan saiz agak besar dan terarah kepada gayaan maxi, Aprilia SR GT nyata lebih cantik dan sporty. Jentera berkenaan hadir dalam varian 125 dan 200 bersama jarak kelegaan tanah setinggi 6.9 inci untuk membolehkan anda menunggangnya di atas laluan off-road ringan. 

SR GT 125 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal i-get Aprilia yang mampu menjana 14.75hp dan tork 12Nm. Sementara SR GT 200 pula menggunakan enjin 174cc berkuasa 17.43hp dan tork 16.5Nm. Enjin tersebut disalut dengan Nikasol dan piston rekaan baru untuk mengoptimumkan kecekapan pembakaran serta meningkatkan penjimatan bahan api. 

Kedua-dua varian dipasang dengan suspensi hadapan daripada Showa dengan jarak travel 122mm. Manakala suspensi belakang dengan pegas gegelung dan preload boleh laras menawarkan jarak travel 102mm. Brek pula terdiri daripada cakera jenis petal bersaiz 260 di depan dan 220 di belakang. 

Sebagai sebuah skuter SR GT pastinya menawarkan ruang penyimpanan di bawah pelana yang besar iaitu seluas 25 liter. Ia mampu memuatkan sebuah topi keledar full-fae dan barangan kecil lain tanpa masalah. Jika tidak cukup, pelanggan boleh membeli aksesori box yang menyediakan ruang sehingga 33 liter. 

SR GT tampil dengan lampu utama berkembar LED, penghadang angin seperti sebuah jentera adventure, bar hendal lebar yang membolehkan penunggang memasang pemegang telefon pintar, GPS atau kamera. 

Segala maklumat tunggangan dipaparkan menerusi skrin LCD digital yang menggunakan sistem ketersambungan MIA Aprilia. Hadir sebagai opsyen, penunggang boleh mengawal ciri-cirinya menerusi butang pada hendal sebelah kanan. MIA juga membolehkan anda menggunakan arahan suara, mengawal muxik dan menerima panggilan telefon. 

Aprilia memberitahu SR GT 150 mempunyai berat 144kg dan SR GT 200 seberat 148kg. Skuter berkenaan didatangkan dengan ciri Regulator Inverter Start & Stop System yang melibatkan satu mekanisme elektrikal brushless yang dipasang terus pada crankshaft dan berbeza daripada starter biasa. Ciri itu dapat meningkatkan ketahanan, menjimatkan minyak dan lebih senyap.  

SR GT ditawarkan dalam beberapa warna pilihan seperti merah, kelabu dan kuning. Kombinasi warna, pelanan, jahitan dan rim bergantung kepada varian yang dipilih. 

GALERI

Google ads
Back to top button