Buletin

TOYOTA YARIS DEBUT PADA SEPANG 1000KM ENDURANCE RACE. CATAT KEDUDUKAN KETIGA

Toyota Yaris debut penuh bergaya dalam perlumbaan Sepang 1000KM Endurance (S1K) edisi 2021.

Ia merupakan penampilan sulung jentera berkenaan menggegar Litar Antarbangsa Sepang (SIC) sebanyak 181 pusingan dalam tempoh sembilan jam.

Dalam kategori elit MTC Production Class, jentera Yaris dikendalikan pasangan Hayden Haikal (16 tahun) dan Timothy Yeo (24 tahun) menduduki kedudukan ketiga.

Tiga jentera Toyota menghuni lima kedudukan teratas pada permulaan perlumbaan terbabit.

Ketua Pegawai Sukan Permotoran Toyota Gazoo Racing (TGR) Akio Takeyama, berkata jentera Yaris menunjukkan aksi cukup sempurna dalam perlumbaan.

“Ia sekali gus membuktikan prestasi dan kebolehpercayaan jentera tersebut dalam pelbagai situasi sukar.

“Apa yang lebih membanggakan kedudukan podium pada kemunculan sulung pada perlumbaan penuh prestij S1K,” katanya.

Beliau memberitahu, S1K merupakan ujian mencabar bukan sahaja terhadap ketahanan dan kebolehpercayaan jentera tetapi kekuatan fizikal serta mental setiap pasukan.

“Saya ingin melihat dua atau tiga jentera menaiki podium. Bagaimanapun, dalam perlumbaan tiada yang pasti sehingga melepasi garisan penamat.

“Kita perlu menerima kekecewaan tersebut walaupun memberi saingan sengit dalam perlumbaan berkenaan,” katanya.

Kejayaan Yaris terbabit lebih manis apabila salah seorang pelumba (Hayden) merupakan pesaing dan juara paling muda dalam siri perlumbaan Toyota Vios Challenge.

Bahkan, lapan daripada pelumba yang berada dalam empat jentera teratas merupakan para pelumba bersaing siri perlumbaan Toyota Vios Challenge.

Dalam perlumbaan Vios Enduro Cup pula, trio Aylezo Motorsports yang diwakili Mirza Syahmi Mahzan, Zen Low dan Aiman Haziq merangkul kejuaraan dengan menamatkan 166 pusingan sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000.

Kedudukan kedua turut dimenangi pasukan Aylezo Motorsports dipandu  Datuk Danny Yip, Kenneth The dan Chang Choon Ming manakala pasukan 23 Motors (Al-Farouk dan Abdull Miqail) meraih podium ketiga.

Sebanyak 10 jentera Toyota mengambil bahagian dalam perlumbaan S1K yang diwakili 38 pasukan.

Kategori MTC Production Class memperlihatkan tiga jentera manakala selebihnya bertanding dalam kelas SP2 Productin dan Vios Enduro Cup.  

Google ads
Back to top button