
SPIDI PERKENAL JAKET MOTOSIKAL KONSEP MISSION BETA – KALIS PENCEMARAN UDARA
Sebagai penunggang motosikal, kita sedar bahawa pakaian yang sesuai ketika menunggang boleh melindungi diri daripada kecederaan jika berlaku kemalangan.
Secara asanya, baju ketika menunggang juga dapat melindungi penunggang daripada angin, hujan. matahari dan perubahan cuaca. Pengeluar peralatan menunggang motosikal, SPIDI kini mahu melindungi penunggang daripada pencemaran udara pula.
Menurut SPIDI, penunggang terdedah kepada pencemaran udara 100 kali ganda berbanding mereka yang memandu kereta. Selain sehingga 10 kali lebih tinggi daripada penunggang basikal atau pejalan kaki.

Jaket Mission Beta mempunyai alat pengesan pada leher yang diintegrasikan kepada satu butang yang dekat pada wajah penunggang. Ia juga didatangkan bersama topeng anti pencemaran yang dibina khas untuk disesuaikan dengan apa jua topi keledar.
Alat pengesan itu menawarkan tiga peringkat maklum balas tentang tahap pencemaran pada masa sebenar iaitu rendah, sederhana dan tinggi. Apabila tahap pencemaran adalah rendah, tidak perlu memakai topeng.
Ketika tahap pencemaran adalah sederhana dan tinggi, sistem akan memberitahu penunggang perlu memakai topeng menerusi getaran serta arahan visual pada paparan OLED di bahagian kiri jaket.

Lebih menarik lagi, SPIDI membuatkan sistem itu boleh beroperasi secara automatik melalu pergerakan.
Sistem akan dimatikan apabila jaket/penunggang tidak bergerak. Anda tidak perlu mengaktifkannya dengan butang dan ia tidak diintegrasikan pada mana-mana aplikasi telefon pintar.
Jaket ini bagaimanapun masih dalam peringkat konsep dan SPIDI tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai versi produksinya.