SKIM PERMIT IMPORT (AP) PERLU DIHAPUSKAN – AHLI EKONOMI
Ahli ekonomi tidak bersetuju dengan langkah Putrajaya mengekalkan skim permit import (AP) kereta yang disifatkan langkah regresif.
Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata, menghapuskan keperluan itu membolehkan saingan sihat antara pembuat kereta tempatan dan asing.
“Ini akan mendorong pembuat kereta domestik meningkatkan kualiti dan mengurangkan harga. Ini semua bagus untuk pengguna,” katanya.
Tetapi, beliau mengakui penghapusan skim itu bakal menyebabkan kerajaan kehilangan hasil besar dalam bentuk bayaran dikenakan kepada pemegang AP.
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan tidak berhasrat menamatkan kelulusan sistem AP kereta secara berperingkat.
Keperluan itu bagaimanapun tidak akan dikenakan kepada Tesla, yang melancarkan operasinya di Malaysia dan memperkenalkan model pertama kepada pasaran kereta tempatan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pembuat kenderaan elektrik (EV) dunia itu diberikan pengecualian dalam usaha meningkatkan permintaan bagi EV bateri termasuk membangunkan sistem sokongan.
Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran mendapati langkah kerajaan memberi pengecualian kepada Tesla bertujuan memberi kelebihan daya saing kepada EV.
“Ini tidak salah pada dasarnya, tetapi saya lebih suka (mekanisme berbeza digunakan seperti melaksanakan) cukai jualan berlainan, contohnya.”
Katanya, pengecualian itu memberi gambaran layanan keutamaan diberikan kepada pembuat kenderaan berbanding produk.
“Ini mungkin menimbulkan isu dalam hubungan kerajaan dengan pembekal lain yang sudah lama beroperasi di Malaysia.” – Free Malaysia Today
- BACA: ELITESOFT YAKIN DENGAN INDUSTRI EV MALAYSIA – JALIN KERJASAMA DENGAN SYARIKAT TEMPATAN DAN ANTARABANGSA
- BACA: HONDA ELEVATE KINI DIPANDU UJI DI JEPUN – BAKAL MUNCUL DI MALAYSIA TAK LAMA LAGI?
- BACA: VOLVO TRUCKS PERKENAL PRIME MOVER EV PERTAMA DI MALAYSIA. 657HP, 300KM SEKALI CAJ
- BACA: KIA NIRO EV TIBA DI MALAYSIA. 201HP, 460KM SEKALI CAJ, BERMULA RM256K