KIA NIRO EV TIBA DI MALAYSIA. 201HP, 460KM SEKALI CAJ, BERMULA RM256K
Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd. hari ini melancarkan secara rasmi SUV elektrik terbaharunya, Kia Niro EV ke pasaran tempatan. Jentera yang ditawarkan dalam satu varian sahaja itu sudah boleh ditempah pada harga bermula RM255,888 seunit.
Didatangkan dalam bentuk CBU dari Korea, Niro tampil dengan rekaan dinamik yang diinspirasikan daripada falsafah reka bentuk Kia, “Opposites United”.
Diinspirasikan daripada alam sekitar, pemilihan warna, material dan kemasan akhir SUV berkenaan mahu mencapai keseimbangan yang sempurna di antara tanggungjawab kepada alam dan mobiliti masa depan.
Rekaan luarannya diambil daripada model konsep HabaNiro yang diperkenalkan oleh Kia pada tahun 2019. Dari segi dimensi, Niro yang direka semula berasaskan kepada platform K generasi ketiga itu memunyai 4,420mm panjang, 1,825mm lebar dan 1,570mm tinggi.
Bahagian hadapan Niro diserlahkan dengan reka bentuk signatur “Tiger Face” yang merangkumi hud, gril, fender, skid plate dab lampu nyalaan siang (DRL) yang cukup rugged.
Gayaan sebuah crossover hadir dengan warna badan dua tona, tiang C aero yang lebar dan lampu belakang berbentuk boomerang. Satu ciri menarik yang perlu anda tahu ialah terdapat Active Air Flaps di dalam gril yang berfungsi meningkatkan tahap pekali seretan Niro kepada hanya 0.29Cd.
Masuk ke ruang kabin, Niro jelas menggunakan material berkualiti premium. Papan pemuka menggabungkan garis horizontal dan diagonal yang turut diselit dengan lampu ambien bersama 64 pilihan warna.
Bahagian tengah dihuni oleh dua paparan digital berdefinisi tinggi bersaiz 10.25 inci yang menggabungkan kluster instrumen dan sistem infohibur
Skrin infohibur itu menawarkan ketersambungan Apple CarPlay, Android Auto dan pengecasan tanpa wayar. Ruang bawah pula dilengkapi butang kawalan pendingin hawa dan media yang mudah dikawal serta kelihatan cukup elegan. Pemandu juga boleh menukar kedudukan gear menerusi electronic rotary dial.
Sebagai komitmen terhadap kelestarian, Kia menggunakan banyak material kitar semula di dalam kabin Niro. Antaranya ialah headlining yang diperbuat daripada kertas dinding kitar semula. Manakala tempat duduk berteknologi tinggi itu dihasil menggunakan Bio PU dengan Tencel daripada daun eucalyptus.
SUV itu menawarkan ruang kargo seluas 475 liter dan boleh berubah menjadi 1,392 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Ruang hadapan (frunk) yang seluas 20 liter itu pula boleh menyimpan kabel pengecas dan adapter Vehicle-to-Load (V2L) berkapasiti 3.6kWh.
Niro dikuasakan oleh pek bateri lithium-ion 64.8kWh yang menawarkan jarak sejauh 460km dengan sekali caj. Bateri tersebut boleh dicaj dari 0 hingga 80 peratus dalam masa 43 minit menggunakan pengecas DC. Ia mampu menjana 150kW (201hp) dan tork maksimum 255Nm, selain memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 7.8 saat.
Aspek pengendalian dimantapkan lagi menerusi penggunaan sistem suspensi dan stereng baharu. Niro dipasang dengan suspensi jenis topang MacPherson di hadapan dan tetapan four-link di belakang.
Dari segi keselamatan, tawaran terbaharu Kia itu dilengkapi dengan lapan beg udara, ABS, EBD, Safe Exit Assist, Hill-start Assist Control (HAC), Traction Control System (TCS), ISOFIX dan Rear Occupant Alert (ROA).
Tidak ketinggalan, ciri keselamatan ADAS yang terdiri daripada High Beam Assist (HBA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Assist (RCCA), Lane Keeping Assist (LKA), Driver Attention Warning (DAW), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dengan Junction Turning, Lane Following Assist (LFA) dan Smart Cruise Control (SCC).
Jika berminat, Niro didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu hijau, biru dan putih mutiara. Ia hadir dengan jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000km (mana-mana tiba dahulu). Di samping jaminan pek bateri selama lapan tahun atau perbatuan sejauh 160,000km (mana-mana tiba dahulu).
- BACA: KIA PERLIHAT SUV NIRO GENERASI BARU – REKAAN LEBIH RADIKAL
- BACA: KIA PICANTO 2023, 1.0L DAN 1.2L, 5MT DAN AMT, SPORTY DENGAN GT-LINE
- BACA: KIA SORENTO 2.2 TURBODIESEL, ADA POWER ADA GAYA
- BACA: KIA SORENTO 2.5 AWD, 177 KUASA KUDA & 253NM TORK
GALERI