Buletin

SKODA FABIA RALLY2, NADI 1.6LITER TURBO, 289 HP/430 NM

Skoda telah pun memperlihatkan secara rasmi generasi baharu Fabia Rally2 berdasarkan model supermini Fabia generasi keempat yang dilancarkan pada tahun lalu.

Berbanding model jalanan standard, Fabia Rally2 menampilkan ciri seperti fender depan dan belakang yang lebih lebar, bampar depan dengan splitter, bonet berliang, skup bumbung, skirt sisi baharu, bampar belakang yang direka semula diikuti dengan spoiler belakang yang agak besar.

Ia dilayangkan dengan warna Hyper Green, diikuti dengan rim 18 inci berwarna hitam.

Terima kasih kepada modifikasi sistem aerodinamik, Fabia Rally2 ini mampu menjana hampir dua kali ganda daya turun berbanding dengan jentera rali terdahulu.

Di bawah bonet, Skoda Fabia Rally2 menggunakan enjin 1.6 liter turbo yang menggunakan asas daripada nadi 2.0 TSI Skoda RS, di mana ia mampu menghasilkan kuasa setinggi 289 hp dan 430 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi sekuential lima kelajuan dengan bantuan differential mekanikal depan dan belakang.

Prestasi pecutan tidak diumumkan, namun kelajuan tertinggi dihadkan kepada 200 km/j sahaja disebabkan oleh nisbah gear yang pendek.

Sistem gantungan menampilkan topang MacPherson dengan jarak pergerakan yang lebih panjang, dibantu dengan sistem brek dengan spesifikasi yang berbeza bergantung kepada laluan.

Seperti contoh, rotor bersaiz 355 mm di depan dan 300 mm di belakang digunakan pada laluan aspal, sementara rotor bersaiz 300 mm depan dan belakang pula untuk laluan batu kerikil.

Untuk ruang kabin, ia telah dimuatkan dengan sangkar keselamatan spesifikasi perlumbaan FIA diperbuat daripada keluli kromium-molybdenum, diikuti perlindungan impak sisi diperbuat daripada gentian karbon, kevlar dan busa penyerap tenaga.

Pemandu pula didatangkan dengan tempat duduk perlumbaan jenis bucket dengan sistem harnesses enam poin dan sokongan untuk kepala dan leher.

Skoda Fabia Rally2 ini akan bersaing secara terus dengan Ford Fiesta Rally2, Hyundai i20 Rally2, dan Citroen C3 Rally2 pada musim hadapan.

Google ads
Back to top button