Artikel Pilihan

HONDA SIAR VIDEO PROMOSI CIVIC TYPE R TERBARU

Pada hari ini iaitu 16 Jun 2022, Honda Motor Corporation telah menayangkan video promosi Honda Civic Type R terbaru mereka di saluran Youtube rasmi Honda. Sama seperti Honda Civic FK8, model terbaru Honda Civic Type R ini dihasilkan mengikut acuan Honda Civic generasi ke 11 iaitu model Civic FL.

Antara perkara yang menarik perhatian kami ialah Honda mendakwa ini adalah versi Honda Civic Type R yang paling berkuasa. Jika dakwaan ini benar, kita akan menyaksikan kuasa enjin K20C Vtec Turbo akan meningkat melebihi 316 kuasa kuda bagi varian yang menggunakan petrol dengan RON yang lebih tinggi.

Anggaran kami ialah kuasanya akan meningkat kepada 326 kuasa kuda, jika anda melihat sejarah peningkatan kuasa Honda Civic FK2 (306 kuasa kuda) kepada Honda Civic FK8 (316 kuasa kuda). Bagi ciri fizikal, anda akan nampak ia masih menggunakan lampu Civic biasa, lampu DRL, brek Brembo dengan angkup merah dan rotor brek berliang.

Anda juga akan perasan beberapa perincian lain seperti Damper Fork dengan ciri Dual Axis Strut, spoiler belakang yang besar, set ekzos 3 lubang, dan unit multimedia dengan skrin terapung. Berdasarkan maklumat video, Honda Civic Type R terbaru ini dijangka akan dilancar pada musim panas 2022.

Atau lebih tepat sekitar bulan Jun hingga Ogos 2022. Buat masa ini Honda masih tidak menyiarkan catatan masa terpantas mereka di Litar Nurburgring walaupun di dalam video promosi tersebut ada dicatatkan tarikh ujian iaitu pada bulan May 2022.

Tapi apa yang pasti catatan masa terpantas di Litar Suzuka bagi kategori kereta pacuan depan kembali dipegang oleh model terbaru ini iaitu dalam masa 2 minit 23.120 saat. Masa ini hampir 1 saat melebihi catatan masa yang pernah dilakukan oleh Honda Civic Type R Limited Edition 2021.

Google ads
Back to top button