Artikel Pilihan

KENAPA TESLA MODEL 3 TIDAK DIBENARKAN DIPANDU DI MALAYSIA OLEH PDRM?

Sebenarnya beberapa hari lepas penulis sendiri berselisih dengan Tesla Model 3 di atas lebuh raya PLUS berhampiran Slim River. Dari jauh lagi penulis sudah boleh mengecam rekaan luar Tesla Model 3 tersebut disebabkan warnanya yang unik dan rekaan luarnya yang tersendiri. Tak sangka pulak nak viral

Namun apa yang menjadi viral ialah pemandu Tesla Model 3 tersebut mendakwa memandu sejauh 700 kilometer dari Tuas ke Pulau Pinang dengan dengan keupayaan pandu sendiri. Satu dakwaan yang menarik perhatian pihak berkuasa di Malaysia yang setakat ini tidak membenarkan penggunaan kereta pandu sendiri lagi.

Ini pendapat peribadi penulis, yang bersetuju dan menyokong penuh kenyataan Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik PDRM. Noktah. Full stop. Bagi menerangkan kenapa penulis menyokong tindakan ini, mari kita huraikan maksud kereta dengan teknologi pandu sendiri.

Society of Automotive Engineer (SAE) pada 3 Mei 2021 telah menggariskan satu panduan bagaimana teknologi kereta pandu sendiri ini boleh dikelaskan kepada 6 tahap yang berbeza. Antara klasifikasi teknologi tersebut ialah:

1. Tahap 0 – atau level 0 ini bermaksud langsung tiada sokongan teknologi pandu sendiri. Kalau ada pun mungkin sekadar autocruise pasif yang memerlukan pemerhatian daripada mata pemandu dan reaksi untuk menekan pedal brek dengan kaki bila perlu

Sebagai contoh Perodua Myvi tahun 2017, Honda City 2016, dan Toyota Vios 2017. Di sini kaki, tangan, mata, dan telinga akan mengumpul maklumat, dihantar kepada otak pemandu untuk diproses dan membuat tindakan balas

2. Tahap 1 – Level 1 ini biasanya dipasang dengan sistem autocruise adaptive yang berupaya membrek dengan sendiri dan memecut semula tanpa sebarang input kaki daripada pemandu. Contohnya Perodua Myvi 1.5 AV 2022, Proton X70 dan juga Honda City RS dengan teknologi Honda Sensing

Ada juga teknologi yang lebih canggih seperti Honda CR-V yang boleh membrek sehingga berhenti dan menyambung semula perjalanan di dalam kesesakan jalan raya. Teknologi ini biasa digabungkan dengan brek kecemasan automatik. Dalam keadaan ini kaki boleh berehat.

3. Tahap 2– wajib ada adaptive autocruise tapi digabungkan dengan beberapa teknologi lain yang berupaya mengawal stering seperti Lane Depature Warning (bagi amaran), Lane Keep Control (kekalkan kereta di tengah lorong) dan dan Lane Keep Assist (bantu tangan ketika membelok)

Kunci kata di sini ialah membantu pemandu dalam mengawal stering kerana tangan pemandu wajib memegang stering. Kalau anda lepaskan tangan dari stering, amaran akan dibunyikan dan sistem akan dimatikan.

4. Tahap 3 – anda sebenarnya tidak memandu walaupun anda duduk di kusyen pemandu. Ini bermakna mata anda boleh berehat dan melihat telefon, kaki anda berehat dan tangan tidak memerlukan input kepada steering.

TAPI (sengaja ditaip besar), pemandu wajib mengambil alih pemanduan bila diminta oleh sistem. Jadi pemandu jangan tidur ya. Sebagai contoh teknologi Traffic Jam Pilot daripada Honda diperakui sebagai tahap 3 oleh Japanese Ministry of Land, Infrastructure, Transport and Tourism.

Honda Legend yang dipasang dengan Traffic Jam Pilot boleh mengesan jalan yang menjadi sesak, menghidupkan ciri ini secara automatik dan mengawal pecutan, brek dan juga input stering. Sistem ini ada dijual di luar negara dan diperakui sah serta selamat

5. Tahap 4 – dalam tahap ini minda atau otak pemandu boleh berehat (mind off) walaupun pemandu berada di kusyen pemandu. TAPI (sekali lagi sengaja ditaip besar), kereta mesti dipandu dalam kawasan yang dibenarkan sahaja yang dipanggil sebagai ciri geofencing. Memandu luar dari kawasan geofencing adalah tidak dibenarkan

Ini bermakna kereta dipandu dalam kawasan yang telah biasa dilalui. Contohnya geofencing anda ialah 50 kilometer radius daripada rumah, jadi dalam kawasan ini anda tak perlu memandu dan boleh tidur lena walaupun Manchester United kalah pada Everton. Pemandu boleh memilih untuk memandu sendiri jika perlu

Jadi pemandu tidak perlu memandu selagi sistem membuat keputusan keadaan persekitaran adalah selamat. Jika keadaan menjadi tidak selamat, kenderaan akan berhenti dalam mode Fail Safe.

Volvo dengan LIDAR

6. Tahap 5 – ini dipanggil sebagai Full Self Driving yang membenarkan pemandu untuk tidur di kerusi pemandu dalam apa jua keadaan dan tidak memerlukan geofencing untuk beroperasi

Pandangan dari sudut undang-undang

Ketua Penolong Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan, Dr Bakri Zainal Abidin berkata, penggunaan fungsi pemanduan automatik boleh menyebabkan pemandu lalai dan tidak peka terhadap keadaan jalan raya.

“Dari perspektif PDRM, Malaysia pada masa ini tidak mempunyai peraturan atau undang-undang terhadap sistem pemanduan automatik, tetapi sistem ini tidak membantu pemandu menumpukan perhatian sepenuhnya pada pemanduan. Sistem tidak dapat memastikan jika ada pemandu yang duduk di dalam kenderaan.

Bakri turut mengingatkan pemandu bahawa Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya 1959 menetapkan sikap yang baik, berhati-hati dan menumpukan perhatian semasa memandu.

Beliau berkata walaupun semua kenderaan pada masa hadapan dilengkapi dengan fungsi pemanduan automatik, pemandu perlu sentiasa memberi perhatian dan peka dengan keadaan jalan raya, agar dapat mengambil alih tepat pada masanya dan mengelakkan kemalangan sekiranya sistem ini gagal.

1. Sonar 2. Radar 3. LIDAR 4. Kamera dengan Artificial Intelligent

“Apabila memandu, tumpuan mesti diberikan kepada jalan raya, kerana aliran trafik dan sikap pengguna jalan raya bermakna pengendali manusia masih diperlukan untuk mengendalikan dan memandu kenderaan itu,” tambahnya.

Sebagai maklumat tambahan, sistem perundangan United Kingdom hanya membenarkan kenderaan dengan sistem pemanduan sendiri tahap 2 sahaja dipandu di jalan raya mereka. Mereka masih menggubal undang-undang baru bagi membolehkan kenderaan yang menggunakan teknologi tahap 3, 4 dan 5 digunakan yang dijangka akan diluluskan pada tahun 2022.

Bagaimana kereta pandu sendiri melihat?

Bila pemandu tidak memberi input kepada stering, pedal minyak dan pedal brek, maka kereta pandu sendiri memerlukan input daripada penderia yang akan dipasang di sekeliling kereta. Penderia ini akan menghantar maklumat kepada unit pemproses, dan tindakbalas yang sesuai akan dibuat.

Jadi untuk “melihat di sekeliling” maka kereta pandu sendiri akan bergantung pada penderia berikut:

1. Sensor ultra sonic – peranti yang menghasilkan gelombang bunyi dengan frekuensi tinggi yang tidak boleh didengar oleh telinga untuk melihat sama seperti kelawar melihat. Teknologi sonar ini juga digunakan oleh kapal selam untuk melihat di dalam air

Walaupun sonar ini murah untuk kereta, tapi ia hanya sesuai digunakan untuk jarak dekat sahaja iaitu sekitar 3 meter. Jadi ia dijadikan penderia untuk membantu kita mengundurkan kenderaan dengan selamat.

2. Radar – bermaksud radio detection and ranging, menggunakan gelombang radio untuk melihat ke depan disebabkan gelombang radio boleh bergerak jauh, mengukur jarak dan halaju. Tapi kelemahan radar ialah ia tiada kebolehan mengenalpasti saiz objek, bentuk dan resolusi.

Radar boleh kesan objek di depan tapi ia tidak mengenalpasti samaada objek itu basikal, kerbau, topeng muka dengan logo atau lori. Tapi radar digunakan sebagai input untuk sistem adaptive autocruise.

3. LIDAR – bermaksud Light Detection & Ranging iaitu menggunakan cahaya laser bagi melihat ke depan berbanding dengan Radar. Kelebihan LIDAR ialah boleh melihat ke arah sekeliling kereta apabila dipasang di atas bumbung. Ia boleh mengesan apa sahaja objek samaada basikal atau lori atau pejalan kaki

Ia berfungsi dengan menembak gelombang cahaya di sekeliling kereta, dikumpul semula sebagai objek. Tapi kelemahan sistem ini ialah besar dan menyebabkan rekaan kereta menjadi hodoh. Atas sebab inilah kereta Tesla tidak menggunakan LIDAR tapi menggunakan kamera.

4. Kamera dengan Artificial Intelligent – ya Tesla memilih untuk menggunakan sepasang kamera (mewakili 2 mata manusia bagi tujuan menganggar jarak), imej diproses dan dihantar ke ECU dengan teknologi kepintaran buatan bagi tindakbalas selanjutnya.

Kamera boleh mengenalpasti lampu isyarat, papan tanda jalan, selekoh, simpang dan semua objek dari kamera sebagai input utama. Cabaran utama di sini ialah untuk mengajar sistem AI apakah objek dan situasi yang bahaya kepada pemanduan disebabkan AI perlu belajar dari masa ke semasa dan diajar bukan terus pandai.

Jadi disebabkan kesusahan jurutera sistem untuk mengajar sistem kepandaian buatan kepada kereta, kita akan melihat banyak kemalangan yang kelakar dan berbahaya yang berlaku pada Tesla disebabkan mereka menggunakan kamera sebagai input teknologi kereta pandu sendiri. Sistem ini memerlukan masa untuk belajar

Antara kemalangan pelik yang pernah terjadi pada Tesla termasuklah:

1. Kereta Tesla pernah dilapor berhenti di papan tanda Burger King kerana beranggapan ia adalah lampu isyarat ,

2. Tesla pernah merempuh satu lori kontena yang terbalik di lebuh raya kerana sistem beranggapan ia adalah objek biasa seperti papan tanda dan selamat di lalui

3. Tesla pernah melanggar ambulan dan kereta polis yang diparkir di laluan kecemasan bagi memberi bantuan kemalangan

4. Sebuah Tesla pernah melanggar lampu isyarat merah di persimpangan California pada tahun 2019, membunuh 2 penumpang dalam kereta yang dilanggar. Dalam kes ini pemandu telah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh. Tak kelakar kan.

5. Sebuah Tesla hampir melanggar penunggang basikal walaupun telah menerima updates dengan sistem self drive yang terkini

Sebenarnya kalau kita cari, memang banyak kemalangan yang membabitkan Tesla melanggar kenderaan lain ketika dipandu dalam mode Autopilot. Persoalan di sini ialah apakah tahap teknologi pandu sendiri Tesla? Penulis rasa bukan tahap 4 atau 5.

Melainkan ia ada Tahap 5 yang masih dalam kajian dan pembangunan (R&) serta belum dijual kepada umum, maka memperjudikan nasib dan nyawa diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain adalah satu tindakan kurang cerdik.

Banyak teknologi pandu sendiri yang dibangunkan oleh Tesla masih dalam Beta Version atau percubaan sahaja. Pada hemat penulis ia adalah tidak bertanggungjawab menjadikan pelanggan anda sebagai pemandu ujian. Pengeluar kenderaan lain menguji teknologi ini di jalan tertutup dengan pemandu terlatih, bukannya meminta pelanggan menguji, dan jika ada kesilapan maka versi baru akan dihantar menerusi updates

Malah Malaysia sendiri ada tapak ujian teknologi kereta pandu sendiri di Cyberjaya. Bukanlah penulis ingin mengajak anda menolak teknologi, tapi teknologi haruslah seiring dengan tanggungjawab keselamatan jalan raya. Tindakan PDRM adalah tepat demi keselamatan umum

Namun pada masa sama kita perlu meminta pihak berkuasa terus menjalankan kajian dan menggubal undang-undang jalan raya yang sesuai dengan kehendak teknologi terkini agar kita tidak ketinggalan jauh dalam arus pemodenan teknologi automotif terutama dalam aspek kereta pandu sendiri.

Google ads
Back to top button