SONY GIAT CARI RAKAN TEKNOLOGI UNTUK PROJEK EV VISION-S
Sony Group dilapor sedang giat mencari rakan teknologi untuk merealisasikan projek kereta elektrik (EV), serta mengubah kereta daripada mode pengangkutan menjadi satu ruang hiburan.
Peralihan industri kepada EV yang dilihat lebih mudah untuk dibina berbanding kereta dengan enjin pembakaran dalaman membuatkan banyak firma baharu ingin menyertai pasaran EV.
Pemanduan berautonomi dan ketersambungan 5G juga dijangka mengubah industri automotif apabila ia mampu menukar kereta daripada pengangkutan kepada perkhidmatan maklumat serta hiburan.
Pengurus Besar Kanan Sony, Izumi Kawanishi memberitahu transformasi kereta tidak jauh beza dengan bagaimana teknologi mengubah telefon menjadi telefon pintar.
Setakat ini, Sony sudah membina dua prototaip EV Vision hasil kerjasama dengan pembuat alat ganti kenderaan Austria, Magna International. Magna juga ada menghasilkan kenderaan untuk BMW, Mercedes-Benz dan Toyota.
Rakan-rakan kerjasama Sony yang lain termasuklah Bosch, Valeo Se dan start-up teknologi kenderaan berautonomi dari Hungary, Almotive.
Untuk menawarkan sebuah EV ke pasaran, Sony terpaksa berbelanja besar ke atas kilang dan peralatan. Tesla contohnya telah berbelanja berbilion dollar untuk menjadi sebuah pengeluar EV.
Sony juga perlu bersaing dengan pembuat kereta tradisional seperti Toyota, General Motors dan Volkswagen.
Selain Sony, firma teknologi yang cuba meneroka peluang dalam industri automotif ialah Apple, LG Electronics, Foxconn dan Alibaba Group.
Sony akan memilih rakan kerjasama berdasarkan kepada apa yang mereka boleh tawarkan, tanpa mengira dari negara mana ia datang.