Buletin

SONY KEJUTKAN DUNIA DENGAN KERETA ELEKTRIK VISION-S CONCEPT

Sony mengejutkan dunia apabila secara tiba-tiba memperkenalkan sebuah model kereta elektrik konsep pada acara Electronics Show (CES) yang sedang berlangsung sekarang di Las Vegas. 

Kereta elektrik itu dibangun untuk menunjukkan usaha Sony dalam bidang mobiliti. Dikenali sebagai Vision-S Concept, ia dilengkapi lebih 33 sensor seperti pengesan imej CMOS, Solid State LiDAR dan radar yang dipasang di seluruh bahagian luar bagi mengesan serta mengecam manusia dan objek di sekelilingnya. 

Bahagian kabin Vision-S Concept pula didatangkan dengan sensor Time of Flight (ToF) yang boleh mengesan manusia dan objek di dalam kereta. Sony mendakwa keretanya itu sesuai untuk sistem autonomi Peringkat 2. 

Kecanggihan ruang dalaman jentera itu diserlahkan menerusi beberapa skrin paparan infohibur bersaiz panoramik pada papan pemuka dan belakang perehat kepala kerusi pemandu dan penumpang hadapan.

Terdapat juga skrin khas untuk memaparkan pandangan pada masa sebenar, di mana kameranya dipasang pada cermin sisi, sama seperti Honda e. 

Satu lagi ciri utama model konsep itu ialah sistem 360 Reality Audio yang menjanjikan kualiti bunyi 360 darjah kepada semua penumpang. Unit pembesar suara disepadukan dengan tempat duduk. 

Ketika mempersembahkan EV itu kepada penonton, Ketua Pegawai Eksekutif Sony, Kenichiro Yoshida memberitahu Vision S dibina di atas platform E yang baru direka. Platform itu dipercayai diambil daripada pembekal automotif, Magna. 

Sedan itu dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 200kW yang membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 4.8 saat dengan kelajuan maksimum 239km/j. 

Sony mendapat bantuan daripada syarikat-syarikat seperti Bosch, Continental, NVIDIA dan Qualcomm. Masih belum jelas sama ada Sony akan membina dan menjual Vision S kepada orang ramai atau sebaliknya. 

Galeri

Google ads
Back to top button