Buletin

MAHINDRA LANCAR XUV700 GANTI XUV500. HARGA BERMULA RM68,000

Mahindra melancarkan SUV kompak terbaharu XUV700 yang akan menggantikan model ‘otai’ XUV500.

Model generasi baharu itu turut menyaksikan pengenalan logo dan identiti baharu jenama India berkenaan yang akan memberi saingan kepada model seperti Hyundai Alcazar, MG Hector Plus dan Tata Safari di pasaran negara terbabit.

SUV XUV700 menampilkan rekaan moden dan teknologi terkini ditawarkan pada harga AS$16,168 (RM68,536).

Ia merupakan model pertama menggunakan logo baharu Twin Peaks Mahindra dipadankan rekaan lampu DRL signatur berbentuk C dan rekaan gril yang lebih ringkas.

Selain itu, bahagian sisi SUV tersebut hadir dengan rekaan lebih kemas.

Dari segi ruang dalaman, XUV700 dilengkapi konfigurasi lima hingga tujuh tempat duduk, roda stereng pelbagai fungsi dan pemilihan mod pemanduan.

Bahagian ruang kabin pula, terdapat papan pemuka moden dipadankan dua skrin bersaiz 10.25 inci (versi asas dapat skrin tujuh atau lapan inci), sistem hiburan dengan sokongan Amazon Alexa dan sistem audio Sony berkuasa 445W dengan 12 pembesar suara.

Mahindra XUV700 ditawarkan pilihan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menjana kuasa 197 hp dan 380 Nm.

Pelanggan juga boleh memilih enjin diesel 2.2 liter turbo yang didatangkan dalam dua output berbeza iaitu 153 hp/360 Nm atau 182 hp/450 Nm.

Antara ciri-ciri menarik termasuk sistem bantuan pemandu (ADAS) seperti kawalan jelajah adaptif, sistem pengecaman papan tanda trafik, serta bantuan suluhan tinggi automatik.

SUV kompak terbaharu itu mula menerima tempahan di India dan dijangka akan dieksport ke pasaran global dalam masa terdekat. – carscoops

Google ads
Back to top button