Buletin

SONY DEDAH SUV KONSEP VISION-S 02. UMUM PENUBUHAN SONY MOBILITY INC

Pengeluar elektronik Jepun, Sony serius dalam menceburi bidang kenderaan elektrik (EV) apabila mendedahkan SUV konsep Vision-S 02 pada Consumer Electronic Show (CES) 2022.

Selain itu, Sony turut mengumumkan penubuhan syarikat Sony Mobility Inc. yang akan meneroka pasaran EV.

Terdahulu pada CES 2020, Sony telah memperkenalkan konsep sedan elektrik Vision-S01 yang masih dalam proses pembangunan sejak Disember 2020.

Sony Vision-S 02 memiliki dimensi ujuran 4895 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,651 mm tinggi dengan jarak antara roda sepanjang 3,030 mm.

SUV elektrik itu memiliki rekaan hampir sama dengan Vision-S 01 dengan lampu utama berbentuk badam dipadankan gril bercahaya.

Ia turut hadir dengan warna dua tona, bar LED penuh pada bahagian belakang dan rim 20 inci gaya aero.

SUV elektrik yang mampu memuatkan tujuh orang itu mendapat khidmat motor elektrik berkembar dengan setiap satu menjana kuasa 268 hp.

Ia mampu mencapai kelajuan maksimum mencecah 180 km/j dan memecut 0-100 km/j dalam tempoh 4.8 saat.

Ruang kabin pula diperkemas dengan teknologi terkini termasuk bunyi keliling 360 Reality Audio, teknologi bantuan pemanduan tahap 2, Bravia Core, sambungan 5G dan keupayaan bermain PlayStation.

Ciri-ciri lain adalah sensor imej CMOS resolusi tinggi dan LiDAR, Time-of-Flight (ToF) dan sistem ADAS.

Kedua-dua model konsep tersebut kemungkinan besar bakal dibangunkan sebagai model produksi dalam masa terdekat. – carscoops

Google ads
Back to top button